KUALA LUMPUR 28 Julai – Kawal nafsu dan jangan tamak apabila melabur di dalam pasaran saham adalah kunci kejayaan dalam menceburi bidang pelaburan yang berisiko tinggi itu.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, tidak semua orang mempunyai keupayaan untuk mengawal emosi dan bersabar.
Beliau yang mula berjinak-jinak dalam pasaran saham sejak 2006 berpendapat permainan emosi seperti tamak dan takut akan mengganggu fokus seseorang pelabur runcit yang baru menyertai pelaburan saham.
“Tidak dinafikan ilmu analisis teknikal dan fundamental dalam kajian saham adalah utama tetapi sentimen lain seperti emosi, pengurusan kewangan dan semangat untuk sentiasa belajar juga perlu diutamakan.
“Sama seperti membeli-belah, kita kena mengawal nafsu supaya tidak membeli produk yang tidak diperlukan dan akhirnya membazir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nuradli merupakan antara ahli panel Seminar Pasaran Modal Utusan yang menumpukan kepada kepentingan ilmu analisis teknikal dan fundamental dalam kajian saham.
Sementara itu, ahli panel kedua, Pengurus Produk ShareInvestor, Y. J. Foo berkata, sudah tiba masanya universiti di Malaysia memperkenalkan subjek untuk mendidik pelajar berkaitan ilmu teknikal.
Beliau yang berkongsi teknik penggunaan perisian carta untuk mempermudahkan kajian saham di dalam seminar itu berpendapat, pelajar universiti harus diberi pendedahan sejak awal lagi.
“Pelajar seringkali didedahkan dengan ilmu asas semata-mata dan memerlukan mereka atau orang lain untuk menyertai kelas atau seminar bagi mendapatkan maklumat lebih jelas.
“Selain maklumat teknikal, pelajar juga perlu mempelajari tentang celik kewangan supaya mereka dapat menguruskan kewangan dengan baik di usia muda,” katanya.











