Isu ‘UMNO mati’ cetus kecoh - Utusan Malaysia

Isu ‘UMNO mati’ cetus kecoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 16 Julai – Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Melaka hari ini kecoh seketika apabila berlaku perang mulut antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dengan wakil rakyat pembangkang berhubung isu ‘UMNO mati’.

Norhizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri sebelum itu memetik peribahasa menyebut ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan UMNO mati meninggalkan hutang.’

Beliau menyebut perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Gue Teck (PKR-Klebang) yang bertanyakan kenapa kerajaan negeri mengurangkan elaun bantuan sara hidup kepada nelayan daripada RM300 kepada RM200.

Memuatkan artikel berkaitan…

Norhizam dalam jawapannya berkata, langkah itu diambil kerana kerajaan negeri ‘membuat kerja’ serta turun padang memilih nelayan yang benar-benar layak dan tidak menambah hutang seperti kerajaan terdahulu dengan memetik peribahasa tersebut.

Kenyataan Norhizam yang menyebut ‘UMNO mati’ dalam peribahasanya itu mengundang kemarahan pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) dan beberapa ADUN pembangkang lain.

Mereka mendesak supaya Norhizam menarik balik perkataan ‘UMNO mati’ tetapi wakil rakyat DAP itu enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku perang mulut antara beliau dan beberapa ADUN pembangkang.

Sesi soal jawab yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh itu semakin kecoh apabila Idris menggelarkan Norhizam sebagai ‘bodoh’ kerana setiap kali beliau bangkit menjawab soalan, pasti akan berlaku kekecohan.

Norhizam tetap bertegas enggan menarik balik perkataan UMNO mati malah sempat menyindir fizikal Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) yang bangkit untuk mencelah dengan berkata, ‘kalau hendak bangun biar betul-betul berdiri atas kerusi saya tak nampak,’ sehingga Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar terpaksa menangguhkan sesi persidangan itu selama seminit bagi mententeramkan keadaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini