Tutur kata yang sopan dan senyuman yang tidak lekang terukir di bibir si jelita ini, langsung tidak menampakkan dirinya dilanda badai hebat silih berganti.
Hakikat sebenar hanya empunya badan yang merasainya.
Bersua muka dengan selebriti yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu dalam satu sesi fotografi khas baru-baru ini, karisma dan pesona yang dimiliki wanita berusia 45 tahun ini cukup memukau sesiapa sahaja yang memandang.
Dia Erra Fazira. Satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Meskipun nama-nama baharu silih berganti dalam industri seni, namun Erra tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Jika disorot kembali penglibatannya dalam dunia seni tanah air, ia bukan sekejap, bahkan hampir menjengah tiga dasawarsa lamanya.
Dalam menempuh segala ranjau serta onak duri dunia populariti, Erra turut tidak terkecuali melalui dan mendepaninya sendiri hingga kadangkala memberi impak terhadap momentum kerjaya seninya. Namun, dia bijak menangani setiap kontroversi yang datang menyapanya.
“Benar. Memang tidak dapat dinafikan jika kita bergelar seorang anak seni pasti ada sahaja cabaran dan kontroversi yang melanda diri. Perkara tersebut memang tidak dapat dielakkan.
“Cuma dalam situasi tersebut, kita kena bijak mengatur langkah bagi memastikan kita terus kekal diterima dalam dunia yang penuh dengan sepak terajang, selain menuntut kecekalan serta kesabaran yang tinggi.
“Tipu kalau saya cakap langsung tidak memberikan kesan kepada psikologi dan kerjaya seni sendiri. Apa pun, saya terima dengan hati terbuka dan sentiasa ingat matlamat serta fokus dengan apa yang kita lakukan,” ujarnya panjang lebar sambil melemparkan senyuman manis saat membuka bicara bersama Sensasi Bintang.
Bahagia
Terkini, umum mengetahui akan status terbaharunya dengan penyanyi dan juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi yang sudah menemui noktahnya sejak awal Januari tahun ini.
Begitu pun, Erra menganggap mungkin sudah tiada jodoh yang diberikan Allah kepada mereka berdua namun dia tetap harus menjalani kehidupan seperti biasa.
Ditebak mengenai perjalanan kehidupannya ketika kini, Erra memberitahu, tiada apa yang berubah selain jadualnya yang semakin padat dan komitmennya sebagai seorang ibu tunggal.
“Saya tidak pernah kecewa dengan apa yang berlaku kerana percaya dan yakin dengan perancangan Allah SWT. Benda yang lepas biarlah berlalu dan kita buka lembaran baharu.
“Saya serahkan segala urusan berkaitan jodoh dan soal hati kepada Yang Maha Esa. Lagipun, saya cukup bahagia dengan kehidupan dan rezeki yang dikurniakan-Nya sekarang selain fokus utama untuk membesarkan anak,” ujarnya ringkas.
Terus diasak mengenai soal jodoh, Erra sambil mengukir senyuman manis menyatakan dia tidak menolak sekiranya jodoh yang tepat dan bersesuaian dengan dirinya dikurniakan satu hari nanti.
Laris
Meskipun ada mulut-mulut yang beranggapan populariti yang dikecapi pelakon filem Pasrah ini kian pudar lebih-lebih lagi setelah bercerai dan menjalani hidup solo, namun tebakan tersebut ternyata salah dan jauh meleset.
Buktinya, rezeki Erra masih diperluaskan dan potensi bakatnya semakin laris menerusi pelbagai cabang seni termasuklah lakonan, pengacaraan dan nyanyian walaupun usianya sudah mencecah 45 tahun.
Jelas pemenang bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular sebanyak tujuh kali ini, terbaharu dia akan tampil dengan sebuah filem psiko thriller dan jenayah seram yang berjudul Wangi arahan pengarah Mohd. Latiff Zami dan diterbitkan oleh Shuhada Mohamad.
“Naskhah ini sangat menarik lebih-lebih lagi mendapat gandingan bersama barisan lakonan mantap lain seperti Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda, Syazwan Zulkifly, Mia Nasir dan pelakon veteren, Ruminah Sidek.
“Sebenarnya pada peringkat awal, saya langsung tak tahu menahu yang naskhah ini bersifat seram dan misteri. Jujur saya katakan sebenarnya kurang minat dan tak berapa selesa dengan genre sedemikian. “Kali terakhir saya menjayakan watak misteri pun menerusi filem Janin pada tahun 2010. Tapi bila saya baca semula skrip, saya rasa tertarik dan rasa wataknya dapat mencabar diri saya untuk membawanya,” ceritanya yang turut bakal hadir dengan beberapa lagi naskhah filem pada tahun hadapan.
Dalam perkembangan lain, pelantun yang popular dengan lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara ini memberitahu, dia turut sibuk dengan program bual bicara Mingguan Wanita musim kedua menerusi slot Astro Prima bersama gandingan empat pengacara hebat lain seperti Siti Elizad dan Sherry Alhadad bermula 8 Julai lalu.
Menangkah Cinta
Tutup soal lakonan dan pengacaraan, figura pujaan ramai ini turut bakal hadir dengan buah tangan terbaharu menerusi single berjudul Menangkah Cinta hasil garapan komposer terkenal, Hafiz Hamidun dan lirik Iman Imran.
Menurut Erra, lirik lagu berunsur ketuhanan itu sudah siap dirakamkan sepenuhnya dan bakal diluncurkan tidak lama lagi.
“Jujur saya katakan memang agak gementar kerana sudah lama tidak bekerja di studio rakaman, namun pada masa sama perasaan teruja melangkau segalanya.
“Memang tak dapat dinafikan ramai peminat yang masih dan setia menanti untuk saya tampil dengan lagu baharu. Jadi, ini semua hadiah buat anda selepas hampir sedekad saya menyepi dalam dunia nyanyian,” ujarnya.











