KUALA LUMPUR 28 Julai – Subsidiari Hino Motors Ltd., Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn. Bhd. (HMSM) melancarkan trak tugas berat Hino 700 Series dengan teknologi transmisi 16 kelajuan manual automatik (AMT).
Pengarah Urusan HMSM, Atsushi Uchiyama berkata, Hino 700 Series memberi tumpuan kepada model-model seperti 4×2, 6×2 dan 6×4 Prime Mover.
Katanya, trak tugas berat tersebut sesuai dengan transmisi ZF16 pergerakan mekanikal automatik 16 kelajuan bersama bantuan kuasa menjadikan proses pertukaran gear lebih mudah dan pantas.
“Ia juga membantu mengurangkan keletihan dari pertukaran klac dan gear yang berterusan sekali gus memberi keselesaan kepada pemandu. Secara tidak langsung pemandu akan lebih fokus kepada pemanduan berbanding menukar gear untuk menjimatkan minyak.
“Pemandu juga diberi pilihan untuk memilih transmisi manual jika keadaan pemanduan ketika itu memerlukan berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Uchiyama, para pelanggan dapat mengekalkan kos operasi rendah menerusi penggunaan minyak yang sedikit dan penggantian klac dengan AMT sekiranya trak mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk.
Katanya, fungsi AMT baharu direka untuk memastikan keselamatan pemandu dan memiliki elemen keselamatan yang tinggi.
“Hino 700 Series AMT dilengkapi dengan enjin common-rail EURO 3 dengan caj turbo serta sistem brek angin sepenuhnya yang memperbaiki tindak balas semasa membrek. Selain itu, walaupun dibangunkan sepenuhnya di Jepun, kenderaan Hino boleh beroperasi dengan B10 biodiesel tanpa melibatkan pertukaran komponen atau servis.
“Sebagai tambahan kepada AMT, Hino 700 Series didatangkan dengan ciri-ciri keselesaan dan keselamatan seperti ruang kabin yang luas, Sistem Brek Anti Kekunci (ABS), pintu yang lebih kukuh serta pemantul lampu utama yang lebih besar,” ujarnya.
Sementara itu, Uchiyama berkata, Hino 700 Series baharu menjanjikan jangka hayat penyelenggaraan lebih lama di samping penggunaan minyak yang lebih baik berikutan para pemandu dilatih dan ditauliahkan di Pusat Sokongan Pelanggan Hino Center (HTSCC).











