DALAM kehidupan bermasyarakat, fitnah sukar untuk dihapuskan, tetapi ia boleh dielakkan dan dikurangkan.

Melalui hati yang bersih dan akal yang waras, seseorang itu boleh membuat pertimbangan tidak akan menulis dan bercakap tentang orang lain dengan mengikut perasaan atau melepaskan dendam semata-mata untuk melemparkan fitnah kepada seseorang.
Oleh itu, benteng keimanan adalah perisai kepada gejala fitnah yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam memfitnah orang lain dan terkena fitnah.
Dalam era globalisasi dan teknologi digital terkini, peranan Internet melalui media baharu dan media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp juga menyebabkan ada kalangan yang melakukan fitnah melalui tulisan.
Penyebaran fitnah dari hujung jari melalui berita palsu dan tidak sahih dalam media sosial sudah menjadi mainan.
Jika dahulu mulut menyampaikan fitnah, kini tangan dan hati turut sama memfitnah orang lain tanpa usul periksa. Fitnah yang merebak dalam kalangan umat Islam tentunya akan membawa kehancuran kepada perpaduan ummah.
Fitnah berlaku apabila dijadikan senjata politik untuk menjatuhkan lawan yang berlainan fahaman politik. Justeru, Nabi SAW bersabda: “ Umatku itu dirahmati Allah dan tidak akan diseksa di akhirat, tetapi seksaan terhadap mereka di dunia berupa fitnah-fitnah, gempa bumi, peperangan dan musibah-musibah.” – Riwayat Abu Daud
Begitulah dahsyatnya bahaya fitnah kepada umat Islam. Lantaran itu, fitnah diibaratkan bahayanya seperti seksaan gempa bumi dan peperangan serta musibah lain yang boleh menghancurkan perpaduan ummah.
Dalam keadaan ini, seseorang itu mesti mengelakkan fitnah sama ada melalui mulut iaitu percakapan, melalui hati dan tangan, melalui penyebaran berita palsu dalam media sosial.
Ingatlah, Allah akan melaknat orang yang menyebarkan fitnah, menghidupkan dan membuat fitnah. Perbuatan ini mendapat balasan setimpal oleh Allah di akhirat kelak. Fikirlah dahulu sebelum menulis dan menyebarkan sesuatu berita.
BENTENG IMAN
Justeru, benteng segala fitnah adalah melalui iman, amalan baik dan akidah yang betul, mementingkan ibadah sebelum bercakap, sentiasa memperbaiki akhlak.
Dalam kehidupan bermasyarakat, politik telah mencambahkan banyak fitnah. Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan dengan tidak memfitnah orang lain, iaitu berkaitan tubuh badan seseorang dan berfikir dahulu sebelum menulis atau bercakap.
Jelaslah, melalui akhlak yang baik iaitu dengan menyempurnakan akhlak yang mulia seseorang itu berfikir sebelum bercakap, tidak mengata orang lain, menyebarkan gosip atau fitnah, memikirkan kesan fitnah yang dilemparkan olehnya kepada orang lain dan mengelakkan rasa cemburu dan iri hati yang bercambah dalam hati.
Ingatlah, masyarakat yang harmoni, mengamalkan kerjasama, saling menyayangi adalah masyarakat yang dituntut oleh Islam. Pembinaan dan pembangunan masyarakat ke arah ini sangat penting bagi mewujudkan ummah dan bangsa yang bersatu padu, bagi menghadapi musuh Islam sama ada dari luar atau dalam.
Akhirnya, ummah yang bersatu juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi, kekuatan politik dan kekuatan budaya.
Apabila semuanya bersatu padu semua perkara dapat dilakukan untuk kebaikan generasi akan datang yang mesti diasaskan atas landasan agama bagi menegakkan cara hidup yang lebih bermakna.
Usaha yang terbaik adalah rapatkan saf sesama ummah, supaya Allah SWT beri hikmah. – UTUSAN ONLINE











