KUALA LUMPUR – Isu kesesakan dan kekurangan tempat letak kereta bertingkat menjadi antara agenda utama yang sedang ditangani oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Kampung Kerinchi, di sini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kajian mengenai permasalahan tersebut telah dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan itu sejak Januari lalu sebelum memutuskan untuk melaksanakan kaedah baharu dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, ia termasuk peraturan semula trafik di Jalan Kerinchi, Jalan Pantai Permai dan Jalan Pantai Murni yang merupakan satu usaha bersifat komprehensif.
“Saya tidak dapat pastikan sejauh mana hala tuju pelaksanaan peraturan trafik itu termasuk pembinaan projek tempat letak kereta bertingkat di PPR Kerinchi.
“Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan DBKL untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kajian dan pelaksanaan tersebut,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai isu kesesakan dan desakan penduduk berhubung projek tempat letak kereta bertingkat di Projek Perumahan Rakyat(PPR) Kerinchi seperti yang dirancang oleh kerajaan terdahulu sejak 2017.
Ahmad Fahmi berkata, pembinaan parkir bertingkat itu juga jika diluluskan akan menjadi sebahagian daripada usaha menyuraikan masalah kesesakan trafik di sekitar Kampung Kerinchi.
“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan penduduk dalam masa terdekat untuk menerangkan usaha dan perancangan DBKL berhubung permasalahan dihadapi,” katanya. – UTUSAN ONLINE









