LONDON – Ibu bapa yang membiarkan enjin kenderaan mereka hidup melebihi satu minit di kawasan berhampiran sekolah bakal berdepan denda sebanyak £500 (RM2,600) lapor akhbar The Sun.
Tindakan itu diambil bawah satu rancangan bertujuan melindungi kanak-kanak daripada udara toksik di pagar sekolah. Buat masa ini, denda untuk perbuatan tersebut adalah antara £20 (RM105) hingga £80 (RM420).
Kenderaan penghantaran komersial yang berhenti untuk mengambil barang mahupun mereka yang berhenti di tempat menunggu teksi juga akan dikenakan tindakan sama.
“Satu cara adalah dengan meningkatkan kompaun serta-merta kepada kira-kira £100 (RM525) sementara denda kira-kira £500 (RM2,600) untuk kenderaan komersial serta pesalah yang berulang kali melanggar peraturan ini,” kata satu sumber.
Satu proses rundingan dijangka diadakan pada musim panas akan datang.
“Kami berazam untuk mengambil tindakan ke atas pemandu yang mencemarkan udara komuniti setempat dengan membiarkan enjin berjalan khususnya berdekatan pagar sekolah di mana anak-anak kita menghirup udara toksik,” tegas Setiausaha Pengangkutan, Chris Grayling.
“Menghentikan perbuatan ini adalah satu cara mudah untuk merendahkan tahap pencemaran udara yang sangat tinggi, mengurangkan impak kepada persekitaran dan juga ke atas kesihatan kita semua,” tambahnya.
Sepanjang satu minit, sebuah kereta yang enjinnya dibiar hidup mengeluarkan sejumlah asap cukup untuk memenuhi 150 belon dengan pelbagai bahan kimia berbahaya termasuk sianida.
Asap ini boleh mencetuskan masalah kesihatan termasuk sakit jantung dan paru-paru, strok serta kanser khususnya dalam kalangan kanak-kanak. – Agensi











