KUALA LUMPUR 9 Julai – Bursa Malaysia ditutup kukuh pada paras tertinggi harian, susulan keyakinan pelabur yang semakin meningkat ekoran keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR).
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 5.23 mata lebih tinggi pada 1,682.87 berbanding 1,677.64 pada penutupan Isnin.
Indeks bergerak antara 1,677.98 dan 1,682.87 di sepanjang hari.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata BNM mengekalkan OPR pada 3.00 peratus ditengah-tengah tekanan inflasi yang rendah selain pasaran buruh yang stabil.
Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu mengunjurkan prestasi yang lebih baik pada suku kedua (Q2) 2019 dan separuh kedua tahun ini.
Ia menjangkakan eksport akan mencatat pertumbuhan positif pada Q2.
“Prestasi ekonomi dua ekonomi terbesar dunia, selain penyusutan ringgit, dijangka memberi sokongan kepada prestasi eksport Malaysia,” katanya.
Pada penutupan, kedudukan pasaran berada pada sempadan negatif, dengan kaunter rugi hampir sama dengan kaunter untung sebanyak 402 berbanding 401, manakala 429 kaunter tidak berubah, 616 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung. -BERNAMA











