Benarkah Hang Li Po, makcik Hang Tuah? - Utusan Malaysia

Benarkah Hang Li Po, makcik Hang Tuah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANG TUAH ialah nama bertuah yang magis dalam kehidupan Malaysia terutama orang Melayu. Santapan terbaik orang Melayu ialah kata-katanya berbunyi: Tak Melayu hilang di dunia.

Benar atau tidak Hang Tuah pernah berkata begitu, hanya orang seperti Tun Sri Lanang, pengarang sejarah Melayu, yang lebih tahu. Jika dikaji dengan teliti, mungkin kata-kata itu satu psikologi terbalik yang bermaksud: Melayu akan hilang dari dunia.

Betapa tidak. Beliau bimbang dengan kerenah orang Melayu di Melaka yang makmur. Pastinya wang (mungkin bukan seperti wang sekarang) bertukar tangan bukan kepalang. Orang menjadi hodoh melakukan apa sahaja untuk wang. Orang Melaka bersosial dengan pedagang, pengunjung dan pelancong. Pelayar yang terdiri daripada askar dari negeri-negeri jauh dan dekat kerap serta banyak singgah di Melaka. Berhari, berminggu dan berbulan. Itulah Melaka, salah sebuah pelabuhan terbesar di dunia. Tidak kurang pula mereka yang mencari pekerjaan atau menjadi abdi tambatan hutang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melayu kini pun menghadapi keadaan yang sama. Manifestasinya ialah 1MDB. Atas hakikat bahawa pelacuran adalah pekerjaan tertua manusia, maka pelacuran pun ada di Melaka. Lanjutan daripada itu, seks sesama jenis pun ada seperti yang berlaku sejak Nabi Luth as lagi.

Demikianlah halnya, skandal 1MDB menerawang di mahkamah. Di satu pihak homoseks menggugat kepimpinan Melayu, kini di pihak lain.

Namun begitu, cuba kita bertumpu kepada Hang Tuah, hero Melayu yang melahirkan retorika kekekalan Melayu itu. Tidak berapa lama dulu, seorang profesor wanita Melayu dalam pengajian sejarah mengatakan Hang Tuah masih hidup, sudah tua, apabila Portugis menakluk Melaka pada 1511. Fakta itu didapatinya daripada dokumen sejarah yang tersimpan di Jepun. Mungkin Jepun membawa pulang dokumen itu sewaktu Tanah Melayu dijajah mereka pada Perang Dunia Kedua dulu.

Di awal abad ke-16, orang dianggap amat tua apabila melebihi usia 50 atau 60 tahun. Oleh itu, Hang Tuah dalam usia begitu yang dilahirkan pada kira-kira 1450 adalah terlalu tua. Bagaimanapun, cuba kita bertanya, kenapa tidak ada nama Hang sebelum itu dan jarang sekali, kalaupun ada, selepas itu?

Kita sama-sama maklum bahawa Hang Li Po diihsankan oleh raja China dalam Dinasti Ming sebagai salah seorang isteri Sultan Mansur Shah. Menurut sumber sejarah, Li Po tidak disebut dalam salasilah keluarga diraja Dinasti Ming. Ini bererti dia bukan anak raja tetapi anak pembesar istana atau anak dayang utama. Silaturahim melalui perkahwinan itu terjalin daripada kunjungan muhibah orang-orang besar China ke Melaka dan pembesar-pembesar Melaka ke China, di istana berhampiran Beijing kini.

Penghantaran Hang Li Po ke Melaka dibuat melalui berpuluh buah kapal kecil dan besar dengan 500 pengiring. Dalam kapal khas Li Po terdapat 10 orang dayang dan 20 orang eunuch (orang yang kena kasi) terdiri daripada soldadu, penjaga kemudi dan sauh, penara layar, juru selam dan pembantu-pembantu am.

Kapal-kapal lain adalah lebih kecil sesuai dengan muatan orang dan barang-barang bekalan. Semua kapal adalah sederhana dan kecil saiznya agar mudah didorong oleh angin. Sepanjang pelayaran sejauh kira-kira 7,000 kilometer itu berlaku dalam tiga kilometer dari daratan. Ini memandangkan dalam jarak begitu terdapat banyak pulau yang boleh didapati bekalan air dan makanan jika berlaku keputusan.

Jumlah mereka yang mengiringi Hang Li Po mencerminkan rakyat China sudah amat ramai waktu itu. Ini terbayang pada jumlah mereka yang mengiringinya. Ia juga memberi pengertian bahawa Hang Li Po harus berada dalam suasana seperti di tempat sendiri yang memerlukan mereka rapat dan mesra dengannya. Dia sayugia memilih ramai saudara mara lelaki dan perempuan (tentunya bernama keluarga Hang) mengiringinya.

Ramai dalam kalangan mereka terutama yang rapat dan mesra dengannya, menetap di Melaka bersama Hang Li Po. Yang lain-lain atas tuntutan tugas dan arahan raja China, pulang ke China. Saudara-saudara pupunya akhirnya berumah tangga dengan orang yang rapat dengan istana Melaka. Dari situlah lahirnya lima orang yang memakai nama keluarga Hang: Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu.

Jika lahir semula, Hang Tuah pasti menangis bahawa kerenah dan skandal di Melaka, 530 tahun dahulu berulang lagi. Justeru retorika beliau menjadi lebih lantang: Hilang atau tidak, Melayu tetap Melayu!

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas ahli Kabinet dan Presiden Senat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini