LONDON – Real Madrid membuat kejutan apabila menukar fikiran di saat akhir untuk tidak membenarkan Gareth Bale berpindah ke China yang bakal menyaksikan penyerang Wales itu memperoleh bayaran 1 juta pound (RM5.1 juta) seminggu.
Media British, Sportsmail melaporkan Bale dalam perancangan untuk menyertai kelab Liga Super China, Jiangsu Suning selama tiga tahun dan perjanjian tersebut bernilai 160 juta pound (RM815 juta).
Bagaimanapun, pagi semalam, perpindahan tersebut ditarik balik selepas Real tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan kepada kelab gergasi Sepanyol tersebut.
Difahamkan keputusan Real membuat pusingan U selepas mereka dimalukan dengan kekalahan 3-7 kepada Atletico Madrid, Sabtu lalu dalam kempen pra-musim. Bale dimasukkan pada separuh masa kedua dalam aksi tersebut.
Perjanjian tersebut batal selepas Real membuat keputusan untuk menaikkan yuran perpindahan terhadap pemain berusia 30 tahun tersebut yang pernah menjadi pemain termahal di dunia ketika menyertai kelab tersebut pada 2013 dengan kos 83 juta pound (RM423 juta) dari Tottenham.
Jiangsu Suning enggan untuk membayar yuran seperti yang dimahukan oleh Presiden Real, Florentino Perez iaitu sekurang-kurangnya menyamai nilai 83 juta pound sekali gus menjadi batu penghalang Bale ke China.
Tindakan Perez menyekat pemergian Bale bakal menjejaskan hubungannya dengan bos Real, Zinedine Zidane.
Pasaran perpindahan China tutup pada Rabu ini dan wakil Bale percaya perjanjian dengan Jiangsu Suning sukar diselamatkan. – AGENSI











