KUALA LUMPUR – Majlis Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yang bersidang buat kali pertama sejak pemilihan pucuk pimpinan penggal 2019-2022 pada 13 Julai lalu, melantik Amrul Hazarin Hamidon sebagai Setiausaha Agung Kehormat baharunya.
Pelantikannya diputuskan pada mesyuarat majlis di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, semalam yang dipengerusikan Datuk Shahrul Zaman Yahya yang kekal menyandang jawatan Presiden KRM selepas menewaskan pencabar, Tan Sri Abd. Halim Karim dalam pemilihan itu.
Amrul mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jamaluddin Salim yang meletakkan jawatan yang disandangnya sejak 2017 sejurus selepas mesyuarat agung tahunan pemilihan berkenaan.
Beliau juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Ragbi Kuala Lumpur (KLRU), selain pernah bergelar Pengarah Pembangunan dan Kejohanan KLRU dari 2007 hingga 2017 serta menyandang jawatan pengurus pasukan Piala Agong Kuala Lumpur 2006-2008.
Amrul, 51, turut memiliki pengalaman profesional sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Nobelsys Solutions & Services Sdn. Bhd., Pengurus Besar MRL Resources Sdn. Bhd., Pengurus Negara One Edge Sdn. Bhd. dan Pengurus Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad.
Kenyataan akhbar KRM, hari ini, mengumumkan pelantikan Mohd. Khairulizuan Shuhaimi sebagai Penolong Setiausaha Agung Kehormat, namun, mengekalkan Datuk Ahmad Zaki Zahid sebagai Bendahari Kehormat kesatuan.
Majlis KRM turut mengekalkan Mohamad Fahmy Abd. Jalil yang memenangi jawatan Naib Presiden dalam persaingan tiga penjuru bagi kerusi itu. – UTUSAN ONLINE











