Akar umbi Bersatu cadang satu ahli satu undi - Utusan Malaysia

Akar umbi Bersatu cadang satu ahli satu undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 15 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicadangkan membuat pindaan perlembagaan agar kaedah satu ahli satu undi digunakan dalam pemilihan parti itu.

Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Arau, Dr. Ammar Hassan berkata, kaedah tersebut dilihat lebih telus selain mengelak sebarang unsur politik wang sekiranya proses pengundian berkenaan melalui perwakilan.

Katanya, kaedah pengundian sebelum ini adalah melalui perwakilan iaitu seorang individu akan mewakili 30 ahli bagi setiap satu undi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semoga kaedah ini memberi kebebasan meluas kepada ahli-ahli memilih pemimpin mereka di peringkat Bahagian. Ia akan lebih adil dan menarik minat rakyat menyertai Bersatu yang terbuka dari segi demokrasi politiknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, keputusan persidangan tahunan Bersatu Arau sebelum ini telah membuat ketetapan dengan mencadangkan pindaan Perlembagaan Bersatu agar kaedah pemilihan dilaksanakan dengan cara tersebut.

“Kita juga berharap kesemua perwakilan yang akan mengadakan persidangan khas pindaan pada 20 Julai depan akan menyokong usul berkenaan (satu ahli satu undi),” katanya.

Pada 28 Jun lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya memaklumkan bahawa parti itu perlu meminda perlembagaannya terlebih dahulu sebelum mengadakan pemilihan bagi mencari pemimpin yang mampu memperkembangkan parti.

Marzuki dilaporkan berkata, beberapa klausa dalam perlembagaan parti perlu diubah bagi memastikan Bersatu yang baru ditubuhkan lebih dua tahun dapat diperkukuhkan.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui pemimpin berasaskan lantikan dalam Bersatu tidak berjaya mengembangkan parti tersebut.

Sehubungan itu, beliau merangkap Pengerusi Bersatu berpendapat pemilihan parti perlu diadakan lebih awal memandangkan kepemimpinan masa kini adalah dilantik. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini