LONDON – Manchester United telah bersetuju dengan nilai perjanjian bernilai 50 juta pound (RM263 juta) bagi mendapatkan khidmat bintang Crystal Palace, Aaron Wan-Bissaka.
Pemain berusia 21 tahun itu dijangka terbang ke utara secepat mungkin bagi melakukan pemeriksaan kesihatan di United dan akan menandatangani kontrak jangka panjang bersama pasukan Old Trafford itu dengan gaji dianggarkan bernilai 80,000 pound (RM421,240) seminggu.
Jumlah gaji baharu yang diterima Wan-Bissaka bakal menyaksikan lonjakan besar berbanding pendapatannya sekarang di Palace iaitu sebanyak 10,000 pound (RM52,655) seminggu.
Persetujuan itu berjaya dimeterai sewaktu United mengadakan rundingan dengan Palace pada Selasa malam (awal pagi waktu Malaysia) dan mereka kini sedang menguruskan pemeriksaan kesihatan pemain muda tersebut.
United akan mengemukakan pembayaran pendahuluan sebanyak 45 juta pound (RM236 juta) untuk khidmat bek kanan itu dengan 5 juta pound (RM26 juta) sebagai bayaran tambahan yang akan dilunaskan kemudian.
Wan-Bissaka adalah pemain kedua yang ditandatangani United pada jendela perpindahan musim panas ini, selepas mereka membeli Daniel James dari Swansea.
Ole Gunnar Solskjaer menyasarkan bakat muda tempatan untuk dia membentuk semula skuad di United. – AGENSI











