IPOH – Isteri kepada Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak 73 hari lalu semasa menyertai perlumbaan lasak di Gopeng terus berharap suaminya selamat dan kembali ke pangkuan keluarga untuk menyambut Aidilftri.
Hamizah Mohd. Ramli, 27, berkata, harapannya sebagai isteri tidak pernah putus malah sentiasa berdoa agar suaminya itu pulang secepat mungkin menemuinya dan anak mereka, Aishah Nur Zahra.
“Masih ada peluang untuk kami beraya bersama. Walau tinggal hanya satu saat sebelum Syawal, ia tetap harapan bagi saya dan saya tidak mahu fikirkan perkara lain.
“Walaupun saya berharap dia akan pulang cepat tetapi saya yakin Allah ada aturan yang lebih baik. Allah tahu bila waktu yang tepat untuk suami saya pulang dan sebagai isteri saya reda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Hamizah, tiada banyak persiapan yang dilakukannya bagi menyambut Aidilfitri kerana lebih menumpukan kepada kecekalan hati dan jiwa dalam menempuh Syawal pertama tanpa suami.
Katanya, ketiadaan Mohamad Ashraf turut memberi kesan kepada anak perempuan mereka yang kerap tercari-cari kelibat bapa kesayangannya itu.
“Anak memang cari daddy dan saya selalu beritahu yang insyaAllah, daddy akan balik.
“Tolong doakan suami saya selamat dan pulang cepat. Saya yakin bila tiba masanya, dia akan kembali semula ke pangkuan kami,” katanya.
Dalam kejadian pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf, 29, yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu.
Operasi mencari lelaki terbabit dilakukan selepas kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis oleh rakannya yang turut sama menyertai perlumbaan lasak itu. – UTUSAN ONLINE










