[VIDEO] Rumah Terbuka Aidilfitri pupuk persefahaman - Utusan Malaysia

[VIDEO] Rumah Terbuka Aidilfitri pupuk persefahaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri akan mula disambut secara meriah esok dan pastinya ia tidak hanya melibatkan penganut agama Islam sahaja.

Sempena meraikan perayaan penuh makna itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersama memupuk persefahaman antara kaum dan saling menjalinkan hubungan mesra, terutamanya melalui aktiviti seperti rumah terbuka.

Kata beliau, keunikan sambutan Aidilfitri di Malaysia adalah pada amalan menganjurkan rumah terbuka dan ia dapat membantu memantapkan perpaduan kaum di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Budaya dan cara sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia sedikit berbeza dengan negara lain. Bagi Malaysia, seluruh umat Islam termasuk Perdana Menteri akan mengadakan rumah terbuka pada 1 Syawal, bagi menjemput keluarga, kawan dan seluruh rakyat untuk menyambut bersama.

“Rumah terbuka Aidilfitri adalah satu aktiviti yang amat bermakna kerana boleh memupuk persefahaman antara kaum dan menjalinkan hubungan antara satu sama lain dan ini adalah penting untuk perpaduan kaum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mesej yang sama turut disampaikan Gerakan melalui filem pendek sempena Hari Raya Aidilfitri yang ditayangkan melalui laman Facebook rasmi parti itu.

Filem pendek berdurasi kira-kira tiga minit yang mula ditayangkan semalam itu antara lain memaparkan hubungan antara kaum yang mesra ketika perayaan Aidilfitri termasuklah amalan kunjung-mengunjungi sesama rakan walaupun berbeza kaum dan agama.

Di samping itu, Dominic turut mengingatkan orang ramai tentang kepentingan menghayati prinsip keadilan yang ditekankan dalam ajaran Islam.

Kata beliau, prinsip tersebut penting untuk difahami kerana ia membantu Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum menuju kejayaan.

“Ajaran Islam sentiasa menekankan keadilan antara umat Islam dengan bukan Islam dan Islam juga mengajar supaya tidak mengeksploitasi (masyarakat) bukan Islam.

“Negara ini akan menuju ke arah yang betul dan (mempunyai) masa depan yang cerah jika (orang) Islam dan bukan Islam diberi layanan yang adil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini