NEWCASTLE – Tidak sampai seminggu Rafael Benitez meninggalkan Newcastle United, jawatan sebagai pengurus kelab tersebut mula menjadi rebutan.
Bekas pemain pertahanan Barcelona dan Arsenal, Giovanni Van Bronckhorst menjadi jurulatih pertama yang menyuarakan keinginannya untuk mengambil alih kerusi panas di Stadium St. James Park itu.
Ejen yang menguruskan Van Bronckhorst, Guido Albers mengakui bekas pengendali Feyenoord itu berminat untuk mengisi kekosongan tersebut, lebih-lebih lagi beliau memiliki keinginan bekerja di England.
“Saya fikir spekulasi ini timbul terlalu awal dan tidak ada sesiapa pun dari Newcastle yang bercakap dengan Gio (Van Bronckhorst). Bagaimanapun, saya percaya semua jurulatih di dunia ini berminat untuk menyertai Liga Perdana England (EPL).
“Jika anda semua tanya sama ada Gio berminat ataupun tidak untuk mengemudi Newcastle, sudah tentu dia sangat berminat kerana ia sebuah kelab yang hebat serta memiliki penyokong terbaik,” kata Albers.
Albers percaya, sekiranya kliennya itu diberi kepercayaan membimbing The Magpies, Van Bronckhorst mampu menghasilkan keputusan baik bersama pasukan berkenaan kerana pernah membimbing Feyenoord muncul juara Liga Belanda pada musim 2016/17.
“Gio memiliki bajet yang cukup terhad bersama Feyenoord tetapi dia masih mampu memenangi Liga Belanda meskipun bersaing dengan dua pasukan hebat, Ajax dan PSV. Saya fikir dia sudah bersedia untuk cabaran baharu,” ujarnya. – Agensi










