Rampasan dadah membimbangkan - Utusan Malaysia

Rampasan dadah membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPERCAYAAN rakyat merupakan antara aset paling berharga bagi sesebuah institusi pertahanan. Ia tidak terbina hanya melalui kekuatan aset ketenteraan, keupayaan operasi atau kecanggihan teknologi, tetapi turut bergantung pada integriti, disiplin dan profesionalisme warganya.

Rampasan dadah di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini, sememangnya menimbulkan kebimbangan ramai.

Kemudahan ketenteraan bukan sekadar infrastruktur operasi, sebaliknya aset yang perlu dilindungi melalui kawalan ke­selamatan, pengawasan dan pematuhan prosedur yang ketat.

Sebarang kemungkinan penyalahgunaan kemudahan tersebut untuk kegiatan jenayah merupakan perkara serius yang memerlukan siasatan menyeluruh.

Laporan TUDM mengenai penemuan bahan mencurigakan serta tindakan menyerahkannya kepada polis menunjukkan integriti tinggi kalangan pimpinan TUDM selain pentingnya mekanisme pemeriksaan dalam sesebuah organisasi.

Kerjasama antara agensi pertahanan dan penguat kuasa undang-undang amat penting dalam memastikan kegiatan yang menyalahi undang-undang dapat dikenal pasti dan ditangani.

Pada masa sama, siasatan perlu dilaksanakan secara profesional, bebas dan menyeluruh, dengan menghormati prinsip anggapan tidak bersalah serta proses keadilan.

Peristiwa itu juga mengingatkan bahawa ancaman terhadap keselamatan negara tidak semestinya datang dari luar tetapi risiko penyalahgunaan akses, kedudukan dan kepercayaan dalam sesebuah organisasi merupakan cabaran keselamatan yang perlu diberikan perhatian serius.

Justeru, pengukuhan keselamatan pangkalan, kawalan akses, pemantauan pergerakan dan integriti warga perlu menjadi agenda berterusan.

Kepimpinan organisasi juga perlu memastikan setiap kelemahan dikenal pasti, dinilai dan diperbaiki melalui langkah yang berkesan.

Keberkesanan pengurusan keselamatan bukan hanya bergantung pada kewujudan prosedur, tetapi juga pada pelaksanaan dan pematuhannya.

Di sebalik tugas anggota tentera menjaga keselamatan negara, terdapat pengorbanan masa, tenaga dan kehidupan peribadi yang sering tidak terlihat oleh masyarakat.

Ada yang bertugas jauh daripada keluarga, berhadapan risiko keselamatan dan melaksanakan tanggungjawab dalam keadaan yang mencabar. Komitmen ini merupakan sebahagian daripada sumbangan besar warga ATM kepada negara.

Dalam tentera, kesetiaan bukan sekadar berdiri bersama rakan seperkhidmatan, tetapi juga keberanian memelihara amanah, mematuhi peraturan dan memastikan setiap tindakan selaras dengan undang-undang.

Peranan kepimpinan juga penting dan bukan hanya diukur melalui kejayaan operasi, tetapi turut dicerminkan melalui ke­tegasan menegakkan disiplin, kesaksamaan dalam penguatkuasaan dan kesediaan melaksanakan pembaharuan.

Rakyat juga berhak mengharapkan sebuah institusi pertahanan yang sentiasa mempertingkatkan standard profesiona­lisme dan tadbir urusnya. Harapan ini merupakan sebahagian daripada amanah yang diberikan kepada ATM.

Hari ini, sesuatu kejadian boleh membentuk persepsi yang luas dalam masa yang singkat. Oleh itu, penyampaian maklumat tepat, komunikasi bertanggungjawab dan tindakan yang boleh dibuktikan menjadi semakin penting.

Keyakinan masyarakat tidak boleh bergantung pada slogan atau kenyataan semata-mata. Ia perlu tumbuh daripada pengalaman, rekod perkhidmatan dan konsistensi tindakan sesebuah institusi.

ATM memikul amanah yang besar dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air. Amanah ini menuntut standard integriti yang tinggi, disiplin yang berterusan dan kepimpinan yang bertanggungjawab pada setiap masa. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Pengarang Utusan Malaysia