KUALA LUMPUR – UMNO menyambut baik aspirasi muafakat dalam berpolitik yang dianjurkan oleh Pas sepertimana yang disampaikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas ke-65 hari ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO akan memberikan komitmen dan kerjasama untuk bersama-sama Pas bagi menyusun ikhtiar dan mencari pendekatan terbaik dalam mengukuhkan Malaysia dan Islam dalam segenap segi.
“UMNO berpendapat bahawa penyatuan ummah antara orang Islam dan Melayu mesti digembleng untuk menjadi satu lonjakan kebangkitan yang baik dan berfokus. Adalah sesuatu yang merugikan jika ummah ini dibiarkan terus berbalah dan berpecah.
“Perpaduan nasional dalam konteks Malaysia, mesti dikukuhkan dengan lebih serius. Islam adalah agama yang meraikan kepelbagaian.
“Adalah penting untuk semua pihak termasuklah ahli politik menterjemahkan ajaran Islam yang sebenar sekali gus berusaha mendekati dan merapatkan hubungan antara kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad, jalan ke hadapan negara mesti dipimpin dengan menjadikan saranan serta aspirasi yang diajarkan Islam sebagai rujukan dan panduan.
“Ketelusan, dasar ekonomi yang baik serta pemeliharaan elemen asas kebangsaan seperti bahasa Melayu mesti menjadi fokus yang tidak boleh dikompromi.
“UMNO sentiasa memegang kepercayaan bahawa keterbukaan dan keanjalan kita dalam menggembleng perpaduan dan kekuatan politik adalah perkara yang sangat kritikal,” katanya. – UTUSAN ONLINE











