KUALA LUMPUR 19 Jun – Jumlah trafik data mudah alih bagi telefon pintar di Asia Tenggara dan Oceania dijangka meningkat sebanyak tujuh kali ganda, dari 2.3 eksabait (EB) pada 2018 kepada 16 EB menjelang 2024.
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton berkata, menerusi Laporan Mudah Alih Ericsson Jun 2019 yang dikeluarkan Ericsson, trafik data bagi telefon pintar pada setiap bulan di dua rantau berkenaan juga diunjur berkembang daripada 3.6 gigabait (GB) kepada 17 GB pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 29 peratus.
Beliau berkata, peningkatan jumlah langganan LTE serta perubahan dari segi tabiat menonton video dalam kalangan golongan muda merupakan antara faktor peningkatan berkenaan.
“Selain itu, jumlah langganan telefon pintar di rantau ini akan melepasi satu bilion pengguna menjelang 2024 pada kadar CAGR sebanyak lapan peratus, manakala jumlah langganan mudah alih dijangka tumbuh pada kadar CAGR tujuh peratus daripada 800 juta pada 2018 kepada 1.2 bilion pada 2024.
“LTE bakal menjadi teknologi akses yang paling berpengaruh di rantau ini menjelang 2024, manakala langganan 5G juga akan mula meraih momentum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ashton berkata, langganan LTE mencatatkan pertumbuhan 40 peratus pada 2018 di Asia Tenggara serta Oceania, dan dijangka menyumbang sebanyak 63 peratus kepada jumlah langganan mudah alih menjelang akhir 2024.
“Peranti komersial 5G peringkat awal dijangka boleh didapati di rantau ini dalam separuh pertama 2019. Malah, menjelang akhir 2024, dijangkakan hampir 12 peratus daripada langganan di rantau ini adalah untuk 5G,” katanya.
Menurut laporan itu juga, jumlah trafik data mudah alih meningkat 82 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding setahun yang lalu dan ia diunjurkan terus meningkat kepada 131EB setiap bulan menjelang akhir 2024.
“Pada masa itu, rangkaian 5G diunjurkan menyumbang kepada 35 peratus daripada angka tersebut. Kini, terdapat sebanyak 1 bilion sambungan Internet segalanya (IoT) selular di seluruh dunia, dan angka tersebut dijangka meningkat kepada 4.1 bilion menjelang akhir 2024,” katanya.
Jumlah trafik data mudah alih bagi telefon pintar di Asia Tenggara dan Oceania










