THE Red Warriors (TRW) nama yang cukup gah dalam arena bola sepak negara satu ketika dahulu kini semakin hampir terjerumus ke saingan Liga M3 musim hadapan sekiranya langkah segera tidak diambil oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Bekas Presiden KAFA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, berpandukan kepada situasi semasa, kedudukan Kelantan kini umpama ‘telur di hujung tanduk’ jika terus berada di tangga tercorot Liga Perdana.
Menurutnya, beliau mahu KAFA mengambil langkah drastik untuk menyelamatkan pasukan bola sepak Kelantan daripada tersingkir ke Liga M3.
“Saya amat-amat kecewa dengan situasi yang membelenggu TRW ketika ini. Apa yang berlaku ini seolah-olah segala usaha yang dilakukan saya bersama Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Mohammed Nordin Awang dan rakan-rakan lain untuk memulihkan semula maruah bola sepak Kelantan bermula tahun 2004 hingga 2007 kini ‘hancur berkecai’.
“Saya dan rakan-rakan adalah kumpulan yang bertanggungjawab melakukan perubahan secara ‘total’ dalam KAFA selepas melihat era kejatuhan Kelantan sehingga terpaksa beraksi dalam saingan Piala FAM satu ketika dahulu,” katanya.
Ahmad Jazlan memberitahu, selepas berjaya melakukan transformasi sehingga Kelantan kembali ke saingan Liga Perdana dan seterusnya mara ke saingan tertinggi Liga Super, beliau membuat keputusan untuk menyerahkan tampuk kepimpinan KAFA kepada Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, Annuar adalah sebahagian daripada orang yang bertanggungjawab membawa Kelantan meniti zaman kegemilangan yang cukup luar biasa.
“Perkara ini telah terpahat dan menjadi sebahagian daripada perjalanan sejarah KAFA,” ujarnya.
Ahmad Jazlan berkata, duit poket yang dikeluarkan bagi membiayai pengurusan pasukan bola sepak Kelantan boleh disifatkan sebagai ‘belanja hangus’ yang berkemungkinan besar tidak dapat dituntut.
“Soal duit yang dibelanjakan untuk bola sepak itu bagi saya tidak perlu kita ungkitkan.
“Mana-mana presiden termasuklah saya yang telah menggalas tanggungjawab itu pernah menghabiskan duit sendiri bagi menggerakan TRW,” katanya.
Di bawah pentadbiran Annuar Musa selama 10 tahun bermula 2007, Kelantan telah mengecapi zaman kegemilangan dengan merangkul semua piala yang dipertandingkan dan beraksi di peringkat Asia sehingga ke suku akhir.
Bagaimanapun, selepas hampir 10 tahun meniti kegemilangan, Kelantan berdepan zaman kejatuhan dan tersungkur ke Liga Premier musim ini adalah kemuncak mimpi ngeri mereka.
Annuar meletak jawatan Presiden pada September 2017 dan dalam kongres persatuan itu, Bibi Ramjani yang tidak mempunyai latar belakang bola sepak muncul peneraju baharu.
Dalam tempoh tidak sampai dua tahun TRW telah mempunyai empat jurulatih, bermula dengan Satih Bensoh, Fajer Ibrahim, Yusri Che Lah dan Marko Kraljevic namun prestasi TRW tetap merudum.
Selepas mengharungi 14 perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga tercorot Liga Super dengan mengumpul sembilan mata. – K! ONLINE











