JOHOR BAHRU – Keterujaan seorang remaja memasang lampu kelip-kelip bagi memeriahkan Hari Raya Aidilfitri di pagar rumah terbantut apabila terjatuh dan tangannya tertusuk besi di Jalan Padi Mahsuri 14, Bandar Baru Uda di sini pukul 10.22 malam tadi.
Remaja lelaki berusia 15 tahun itu terpaksa menahan kesakitan hampir 20 minit sebelum keluarganya memohon bantuan pihak bomba kerana tangannya tertusuk dan tidak dapat ditarik keluar daripada besi pagar tersebut.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin diketuai Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Hairi Nizam Mostapa bersama-sama satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) datang membantu.

“Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di lokasi terdapat mangsa cedera apabila tangan tertusuk pada besi pagar.
“Tangan mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan dihantar ke Hospital Sultanah Ismail (HSA) di sini menggunakan jentera EMRS, operasi tamat pukul 10.37 malam,” ujar Mohd. Hairi ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE










