KUALA LUMPUR – Pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengejutkan ramai pihak dan mengundang banyak kecaman.
Ini kerana Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah menyatakan komitmennya untuk menolak lantikan politik dan ia turut didokumenkan dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Namun, bukan semua mencemuh. Berita pelantikan bekas pemimpin pusat PKR itu disambut baik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Melalui Twitter, Syed Saddiq menghadiahkan ucapan tahniah buat Latheefa dan berharap peguam lantang itu akan berjaya membersihkan Malaysia daripada korupsi kelak.
“Saya menantikan Latheefa Koya membersihkan Malaysia daripada kebusukan korupsi. Tanpa takut atau berpihak, tegakkan keadilan.
“Tahniah atas pelantikan anda!” katanya melalui akaun Twitter miliknya hari ini.

Pelantikan Latheefa diumumkan Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau yang sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.
Latheefa akan memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya untuk tempoh kontrak dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE











