Sindiket judi ekor berselindung di sebalik kedai dobi, telekomunikasi - Utusan Malaysia

Sindiket judi ekor berselindung di sebalik kedai dobi, telekomunikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH – Taktik satu sindiket yang berselindung di sebalik perniagaan dobi dan alat telekomunikasi untuk menjalankan aktiviti perjudian ekor haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal selepas polis menyerbu 15 premis di sini semalam.

Serbuan itu dilakukan sepasukan polis ibu pejabat daerah Seberang Perai Utara (SPU) bersama anggota Bahagian Jenayah, Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula pukul 2 petang di sekitar daerah ini dan Kepala Batas.

Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, serbuan menerusi Op Dadu itu juga berjaya menahan seramai 21 individu masing-masing 18 lelaki dan tiga wanita berumur antara 17 hingga 70 tahun yang disyaki bekerja di premis berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah beliau, dalam serbuan itu juga, pihaknya merampas sebanyak 15 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan 11 buah mesin pencetak data mudah alih serta wang pertaruhan berjumlah RM4,507.

“Sindiket ini dikesan melakukan aktiviti judi secara berpindah-randah sejak beberapa bulan lalu dan beroperasi setiap Rabu, Sabtu dan Ahad bermula awal pagi sehingga 7 malam bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kesemua suspek kini direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka ( ARJT ) 1953.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM20,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini