PULAU PINANG – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) negeri menjangkakan seramai 1,200 orang akan menyertai kempen Relay For Life Penang 2019 yang akan diadakan pada 27 Julai ini.
Program yang memasuki tahun ke-14 penganjuran dan bertemakan Melawan Kanser Bersama itu akan diadakan di Rumah Hospis Pulau Pinang, Air Itam di sini bermula pukul 3 petang hingga 9 malam.
Lebih menarik, program itu juga dijangka disertai seramai 300 bekas pesakit kanser yang berjaya melawan penyakit berkenaan sekali gus memberi sokongan dan harapan kepada pesakit kanser lain.
Menurut Pengerusi NCSM negeri, Datuk Seri Dr. T Devaraj, seperti penganjuran sebelum ini, Relay For Life 2019 juga akan melibatkan pelbagai aktiviti bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penyakit kanser.
Antaranya, kata beliau, sudut pameran dan informasi daripada agensi berkaitan; aktiviti sukananeka dan hiburan; gerai makanan serta cabutan bertuah.
“Paling utama, penganjuran program ini diharap dapat membantu agensi berkaitan kanser di negeri ini khususnya NCSM mengumpul dana seterusnya menggerakkan lebih banyak inisiatif untuk menyokong pesakit kanser meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran program itu di Rumah Hospis Pulau Pinang, Air Itam di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan.
Menurut Devaraj, orang ramai boleh menyertai program itu dengan yuran serendah RM30 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.
Selain itu, tambahnya, syarikat korporat pula boleh menaja program tersebut menerusi beberapa pakej yang disediakan bermula serendah RM5,000 sehingga RM50,000.
“Setiap penyertaan juga akan diberikan kit yang mengandungi informasi berkaitan penyakit kanser serta sehelai baju T.
“Orang ramai boleh mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini dengan menghubungi 04-2284140 atau e-mel ke [email protected] atau melayari laman web kami di www.relayforlife.org.my,” katanya.
Dalam perkembangan sama, menurut Devaraj, sebagai sokongan kepada program melawan kanser tersebut, beliau menyeru orang ramai yang akan menyertai program berkenaan kelak supaya tidak membawa atau menggunakan sebarang material yang diperbuat daripada plastik.
Menurut beliau, penggunaan plastik dikenal pasti sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan kes kanser sekali gus perlu dielakkan oleh orang ramai. – UTUSAN ONLINE










