Sempadan darat Kelantan-Terengganu dimuktamadkan - Utusan Malaysia

Sempadan darat Kelantan-Terengganu dimuktamadkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA- Sempadan darat Kelantan dan Terengganu dimuktamadkan hari ini dalam majlis menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Sempadan antara kedua-dua negeri.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, jarak keseluruhan jajaran sempadan darat di antara Kelantan-Terengganu adalah sepanjang 198.7 kilometer (km).

Beliau berkata, Kelantan dan Terengganu komited untuk memastikan pemeteraian Perjanjian Sempadan yang dapat menyelesaikan sebarang isu kepentingan bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sempadan itu bermula dari pertemuan antara tiga negeri (Kelantan, Pahang, Terengganu) di Bukit Gagau mengikut legeh utama ke Stesen Trigonometrik Bukit Yong.

“Ukuran berakhir di Kampung Pacakan berhampiran pantai yang berhadapan dengan Laut China Selatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Mou itu di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Xavier, antara aktiviti penting yang membawa kepada perjanjian sempadan itu ialah kerja penandaan dan pengukuran di lapangan yang di lakukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

“Selepas ini, kedua-dua negeri akan memulakan rundingan penentuan sempadan maritim hingga ke laut wilayah dengan tumpuan kepada garisan sempadan maritim,”katanya.

Xavier berkata, secara keseluruhan terdapat sebanyak 19 sektor sempadan darat antara negeri-negeri di semenanjung dan sehingga kini lima sektor telah dimuktamadkan.

“Daripada jumlah itu juga, tiga sektor siap ditanda dan diukur, dua sektor sedang dilakukan penandaan dan pengukuran manakala, baki sembilan lagi belum ditanda dan diukur kerana masih dalam proses rundingan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad dalam sidang akhbar yang sama berkata, permeteraian sempadan itu membawa pelbagai kebaikan termasuk dalam aspek pembangunan dan penguatkuasaan.

“Bagi kita ini (perjanjian sempadan) dapat bawa kebaikan, contohnya ialah dalam pembangunan yang mana kita dapat merancang dengan lebih baik. Kita juga dapat kawal pencerobohan hutan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini