Saya hanya mencari cinta sejati – A. Aida - Utusan Malaysia

Saya hanya mencari cinta sejati – A. Aida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak sampai setahun mendirikan rumah tangga, penerbit popular Datuk A. Aida mengakui perkahwinannya dengan pelakon muda, Ariff Aziz, 29, telah berakhir dengan perceraian pada 25 April lalu.

Pengakuan tersebut dibuat menerusi sidang akhbar yang berlangsung pada Selasa lalu demi menjawab spekulasi status perkahwinan dengan lelaki yang dinikahnya pada 21 Julai tahun lalu.

Tenang berdepan dengan pengamal media dan sesekali menyeka air mata, A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 48, mengumumkan bahawa perkahwinan yang dibina kurang daripada setahun itu telah berakhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kedua-dua mereka telah berbincang dan bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan secara baik dan Ariff telah melafazkan cerai talak satu terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Ikuti luahan hati A. Aida kepada Kosmo! mengenai kegagalan perkahwinan keempatnya.

KOSMO!: Perkahwinan kali keempat anda berakhir dengan perceraian. Apakah perasaan anda?

A. AIDA: Ajal, maut dan jodoh ialah rahsia Allah. Hanya Dia yang maha mengetahui. Allah telah menentukan jodoh saya bersama dia hanya setakat ini, maka saya reda. Saya mohon doa yang baik-baik sahaja.

Keluarga dan anak-anak menyokong segala keputusan saya. Saat saya memfailkan cerai maksudnya saya tidak bahagia dengan pasangan. Kini, saya gembira selepas kembali bujang.

Saya seorang wanita besi. Saya tidak pernah kecewa atau merintih dengan keputusan ini.

Sekiranya anda sudi berkongsi, apakah punca perpisahan?

Punca perceraian antara kami, biarlah menjadi rahsia. Namun, saya ingin menegaskan di sini perceraian ini tidak ada kena mengena dengan penglibatan orang ketiga.

Tujuan utama saya membuat sidang akhbar adalah untuk memberitahu kepada umum status perkahwinan terkini bagi mengelakkan fitnah.

Jika diikutkan hati, saya mahu sembunyikan berita ini, namun saya sedar bahawa diri saya adalah milik masyarakat. Maka lebih baik saya berterus-terang.

Apakah yang anda inginkan selepas melalui empat perkahwinan?

Sebenarnya, dalam hidup ini saya telah mempunyai segala-galanya. Saya tidak kisah untuk bersama dengan lelaki yang tidak mempunyai wang kerana saya ada semua itu.

Apa yang saya cari ialah kasih sayang dan cinta. Saya mahu seorang lelaki menyayangi saya sepenuh hati.

Kegagalan perkahwinan pada kali ini memberi banyak iktibar terutama dari aspek mengenali hati budi pasangan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Adakah setiap bekas suami anda gagal memberikan cinta sehingga anda memilih untuk berpisah?

Saya yakin apabila Allah menghantar setiap lelaki yang pernah menjadi suami saya, mereka mencintai dan menerima saya seadanya.

Biasalah, ketika bercinta semuanya wangi, apabila telah berpisah saling menuding jari antara satu sama lain.

Pada pendapat saya, setiap kegagalan perkahwinan terdahulu adalah ketetapan Allah. Jodoh setakat itu sahaja.

Selepas kegagalan empat perkahwinan, adakah anda serik untuk kembali mendirikan rumah tangga?

Buat masa ini saya tidak mahu fikir mengenai soal jodoh. Saya mahu fokus pada perniagaan produk kecantikan dan tugas sebagai duta gimnasium Empire Fitness First di Ampang Point, Kuala Lumpur.

Namun, jika pada masa depan tertulis ada lagi jodoh untuk saya, insya-Allah, saya tidak akan menolaknya.

Soal jodoh ialah rahsia Allah. Perkara yang penting carilah pasangan yang saling mengenali hati budi dan bekerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini