MELAKA – Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating menyeru anak-anak buahnya fokus dan konsisten jika mahu kekal menerajui Liga Perdana sehingga tamat musim selepas menumpaskan PDRM 2-1 di Stadium Hang Jebat, di sini semalam.
Pengendali berusia 48 tahun itu berkata, dengan berbaki lima perlawanan, kutipan tiga mata amat penting untuk menjarakkan kedudukan sekali gus menempah slot ke saingan Liga Super musim hadapan.
Biarpun masih terlalu awal untuk memasang angan-angan, namun bekas pemain kebangsaan era 1997-1998 itu mahu pasukan bimbingannya bekerja keras demi merealisasikan impian melayakkan diri dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan selepas sekian lama tercicir.
“Kami perlu memberi tumpuan dalam setiap perlawanan kerana ada 90 minit yang perlu ditempuhi dan dalam bola sepak apa saja boleh terjadi, sudah tentu semakin kita mahu mengakhiri saingan, tekanan akan lebih tinggi dan perjalanan makin sukar.
“Selagi belum menghabiskan perlawanan untuk berada di kedudukan teratas liga, kami perlu berusaha lebih gigih selain tidak boleh cepat berpuas hati kerana kita mahu menang hingga dinobat sebagai juara,” katanya selepas perlawanan di sini, malam tadi.
Dalam perlawanan itu tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan percuma pemain import Korea Selatan, Lee Chang-hoon pada minit ke-32.
Bagaimanapun, Sabah Rhinos bangkit menyamakan kedudukan menerusi Rodoljub Paunovic pada minit ke-76 sebelum Alto Linus meledak gol kemenangan, enam minit kemudian.
Mengulas lanjut, Jelius berkata, kemenangan menjadi motivasi buat pemainnya untuk menempuh satu perlawanan ke satu perlawanan bagi sasaran mengungguli Liga Perdana.
“Ia bukan kemenangan mudah kerana di akhir perlawanan kami menang. PDRM bermain baik dan mendahului tetapi setiap pemain harus dipuji mereka terus berusaha untuk menang,” katanya.
Jelius yang juga pernah mewakili Sabah dari tahun 1995 hingga 2005 turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) yang memberi kepercayaan kepadanya mengendalikan pasukan itu sejak dua tahun lalu.
Beliau juga bertekad untuk mengembalikan kegemilangan skuad bola sepak negeri Di Bawah Bayu itu sebagai pasukan elit dan disegani selepas kali terakhir berada dalam saingan Liga Super pada 2012. – BERNAMA










