Risiko sesak nafas - Utusan Malaysia

Risiko sesak nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelbagai PUNCA boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sesak nafas malah makanan yang menjadi alahan kepada seseorang juga boleh membawa kepada masalah tersebut.

Menurut Pakar Perunding Respitori Dr. Wong Chee Kuan, Pakar Perunding Respiratori dari Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), mereka yang alah pada makanan tertentu seperti makanan laut, telur, kekacang sehingga menyebabkan alahan serius boleh diserang sesak nafas.

Mereka boleh mengalami bronschospasm atau angioedema yang menyebabkan keseluruhan saluran pernafasan bengkak dan sempit selain  mengecut  serta tersekat sekali gus mendedahkan mereka terhadap penyakit tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka yang menghidap penyakit gastrik juga perlu berhati-hati ketika menikmati juadah yang pedas selain tidak digalakkan meminum minuman berkarbonat.

Ini kerana perut pesakit gastrik mengeluarkan banyak asid dan angin yang terperangkap dalam perut dan pengambilan makanan tersebut boleh menyebabkan mereka mengalami kembung perut yang akan menolak diafragama (lapisan otot) bahagian paru-paru.

“Perut terletak pada bahagian bawah diafragma (lapisan otot)  sebelah kiri. Apabila kita makan terlalu kenyang perut akan mengembang dan menolak paru-paru kiri ke atas. Pesakit gastrik akan rasa kembung dan menyebabkan sesak nafas,’’ katanya ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, jika berlaku sesak nafas, pesakit terbabit perlu diberikan perhatian serius kerana kemungkinan mereka mengalami penyakit pada bahagian sistem pernafasan antaranya penyakit saluran pernafasan obstruktif kronik (COPD) atau bronkitis kronik.

Punca penyakit ini adalah disebabkan individu berkenaan merokok dalam tempoh yang lama atau bekerja di kawasan yang terdedah kepada habuk dan asap menyebabkan saluran pernafasan mereka mempunyai radang atau kanser yang menyekat pernafasan.

Selain itu katanya, pesakit yang mengalami penyakit paru-paru seperti radang atau kanser paru-paru, fibrosis dan kebocoran paru-paru (pneumothorax) juga akan menyebabkan sesak nafas.

Pneumothorax berlaku apabila paru-paru mengecut dan bocor tanpa sebab dan pesakit akan mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

“Pesakit muda terutama golongan lelaki yang mempunyai tubuh tinggi mudah mengalami penyakit ini kerana paru-paru mereka lebih panjang dan mempunyai banyak gelembung kecil yang  senang pecah. Semakin serius jika mereka perokok tegar. Serangan ini tidak dijangka dan boleh berlaku pada bila-bila masa,’’ katanya.

Mereka yang mengalami paru-paru berparut atau lung fibrosis iaitu keadaan yang menyebabkan paru-paru mengeras juga terdedah kepada sesak nafas.

Menurut Dr. Chee Kuan, wujud salah tanggapan yang mengatakan bahawa paru-paru berair hanya disebabkan masalah paru-paru sedangkan sebenarnya boleh berpunca daripada penyakit jantung lemah.

“Jika jantung lemah maka ia tidak boleh mengepam air. Air akan tertumpu kepada paru-paru kerana mempunyai ruang besar yang boleh menyerap banyak air. Ini yang boleh menyebabkan pesakit sesak nafas,’’ ujarnya.

Seperti pesakit yang mengalami penyakit hati atau buah pinggang rosak sehingga mereka tidak boleh membuang air kecil dengan sempurna juga boleh mengakibatkan air beralih ke paru-paru hingga menyebabkan mereka mengalami sesak nafas.

Penyakit yang lazim dikaitkan dengan sesak nafas termasuklah serangan penyakit jantung atau penyakit darah beku (pulmonary embolism) iaitu darah beku dari bahagian kaki telah bergerak ke paru-paru hingga menyebabkannya tersekat.

Dr. Chee Kuan berkata, pH darah terlalu berasid seperti yang dialami pesakit diabetic ketoacidosis, kegagalan buah pinggang dan keracunan ubat melalui penggunaan paracetamol, aspirin atau salicylate (minyak kapak) juga boleh menyebabkan sesak nafas.

Sering kali berlaku apabila seseorang mengalami tekanan emosi mengalami sesak nafas namun kata beliau ia bukan suatu penyakit pada saluran pernafasan atau paru-paru namun disebabkan individu berkenaan bernafas dengan cepat.

“Apabila seseorang berasa cemas disebabkan tekanan emosi, dia boleh bernafas dengan cepat atau dipanggil hiperventilasi. Mereka terlalu kerap menarik nafas dengan cepat sehingga karbon dioksida dalam badan semakin rendah. Ini menyebabkan gejala pening, sesak nafas, lemah badan, kebas pada keliling mulut dan jari,’’ katanya.

Dalam situasi sedemikian pesakit akan dilatih untuk menenangkan fikiran dan cara bernafas bagi mengelak kehilangan karbon dioksida.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini