Rangka kerja inovasi kewangan diperlukan - Utusan Malaysia

Rangka kerja inovasi kewangan diperlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Jun – Industri kewangan dan negara memerlukan rangka kerja berwibawa dan terjamin untuk inovasi teknologi di samping mendidik serta memperkasa orang ramai memanfaatkan inovasi.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, adalah penting untuk merumuskan strategi negara yang bersepadu, mantap dan menyeluruh mengenai keselamatan siber.

“Kita hanya akan dapat memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi secara menyeluruh sekiranya memberi tumpuan kepada pertimbangan risiko operasi dan strategik,” katanya ketika berucap pada Minggu MyFintech 2019 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah Nor Shamsiah, dunia semakin menunjukkan perubahan ketara dan menggesa tumpuan diberikan terhadap lima trend mega iaitu aturan ekonomi dunia dengan kebangkitan Asia, risiko perubahan iklim, peningkatan ketidaksamaan pendapatan, peningkatan polisi populisme dan perlindungan dasar-dasar serta kemajuan teknologi.

Menurut beliau, kebergantungan yang semakin meningkat terhadap teknologi membawa kepada risiko yang tidak boleh diketepikan.

“Ini termasuk isu data peribadi, diskriminasi atau bias dan perpindahan segmen-segmen tertentu dalam masyarakat. Risiko ancaman siber dan gangguan operasi pada zaman digital ini harus diberi perhatian bagi menangani masalah ini dengan sepenuhnya,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, teknologi kewangan (fintech) menyediakan potensi besar dalam meningkatkan persaingan dan produktiviti, mengenal pasti permintaan pelanggan yang belum dipenuhi dan mengubah cara institusi menyediakan perkhidmatan mereka.

“Bagaimanapun, ia memerlukan kita menangani risiko yang berpotensi berkaitan teknologi selain mewujudkan persekitaran yang selamat, kukuh dan diyakini. BNM komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi membolehkan inovasi berkembang maju.

“Kita perlu menyeimbangkan manfaat inovasi kewangan dengan kemungkinan risiko yang berlaku. Kami juga sedar bahawa gesaan yang kami buat untuk mengawal dan menyelia industri boleh menghalang inovasi,” ujarnya.

HABIS…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini