KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan ngeri apabila kepalanya putus selepas merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 24, Lebuh Raya SILK dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Samsuri anak Adam, 30, yang menunggang motosikal Yamaha 125 dikatakan dalam perjalanan dari arah Kajang ke rumahnya di Pulau Carey, Klang, Selangor sebelum terbabas sendiri kira-kira pukul 5.25 pagi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, ketika kejadian, mangsa tidak memakai topi keledar dan menunggang dalam had laju tinggi sebelum telah hilang kawalan lalu melanggar pembahagi kiri jalan.
“Kepala mangsa terhentak dan terseret di atas pembahagi jalan bersama-sama motosikalnya sejauh 60 meter.
“Kepala mangsa yang putus pula ditemukan kira-kira enam meter daripada tubuhnya yang tertiarap di lorong kedua laluan lebuh raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
“Saya ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta elakkan sebarang pemanduan dalam keadaan letih terutamanya di musim perayaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











