PSM jamin padang dijaga rapi - Utusan Malaysia

PSM jamin padang dijaga rapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Adam Daud berkata, padang Stadium Nasional, Bukit Jalil masih dalam keadaan boleh digunakan (playable) bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia-Nepal, Ahad lalu.

Menurutnya, keadaan padang tidaklah sebegitu teruk seperti yang dirungutkan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang mendakwa banyak umpanan dan pergerakan anak-anak buahnya terjejas, malah, ia turut disokong jurulatih Nepal, Johan Kalin.

“Memang ada compang-camping sedikit padang, tetapi, tidaklah begitu serius, masih dalam playable. Dengan keadaan cuaca hujan dan padang basah, keadaannya mungkin bukan pada tahap cemerlang, tentang itu kami sukar buat apa-apa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pagi tadi (semalam), ada pegawai FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) laporkan keadaan padang dan PSM telah mengambil langkah-langkah segera yang perlu diperbaiki seperti menggunakan rolling smooth machine. Kami adakan pemantauan dan pemeriksaan padang secara bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Cheng Hoe dan Kalin meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap keadaan permukaan padang dalam perlawanan yang berkesudahan Malaysia menundukkan Nepal 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid dan Shahrul Saad.

Skuad kebangsaan dalam persediaan bagi mengadapi Timor Leste pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Jumaat ini dan pada 11 Jun.

Nik Razeen memberitahu, aksi lasak Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) antara Malaysia dan Korea Selatan pada 25 Mei lalu di stadium sama turut mempengaruhi keadaan permukaan padang.

“Namun, ia tidak bermakna perlawanan ARC seterusnya antara Malaysia dan Hong Kong pada 22 Jun ini di sini akan dibatalkan, ditunda atau dipindahkan ke tempat lain. Semuanya berjalan seperti yang dijadualkan,” ujarnya.

Jelas beliau, PSM akan memastikan keadaan dan mutu padang Stadium Nasional berada jauh lebih baik berbanding, Ahad lalu, apabila menjadi tuan rumah kepada kedua-dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

“Kami juga masih membenarkan kedua-dua pasukan mengadakan sesi latihan penyesuaian diri di Stadium Nasional, sehari sebelum kedua-dua perlawanan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini