KEMAMAN – Polis Terengganu mengagihkan lebih 2,000 bungkus pek berbuka puasa dan kuih raya kepada pengguna jalan raya dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri ‘Pandu Cermat Sampai Selamat’ peringkat negeri dekat pintu gerbang Geliga, di sempadan Terengganu-Pahang petang semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, sumbangan tersebut hasil sumbangan dan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri Terengganu.
Majlis pelancaran dan pengagihan sumbangan kepada pengguna jalan raya disempunakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left. Kol. (PA) Che Adam A. Rahman; Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim; Pegawai Daerah, Osman A. Bakar dan Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah, Lokman Hakim Othman.
Pada majlis sama, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) turut mengedar risalah keselamatan jalan raya dan cara penggunaan tayar yang betul bagi keselamatan pengguna sepanjang Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 15/2019. – UTUSAN ONLINE











