KUALA LUMPUR – Lebih 500 peserta dijangka merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM8,200 yang ditawarkan dalam pertandingan Tampin Eco Challenge 2019 (TEC) di Tampin Xtreme Park, Negeri Sembilan pada 13 dan 14 Julai ini.
Program julung kali yang dianjurkan Majlis Daerah Tampin dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri.
Yang Dipertua Majlis Dae-rah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, usaha tersebut secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan dan toleransi serta mengamalkan gaya hidup sihat.
“Sebanyak tiga disiplin dipertandingkan iaitu berkayak sejauh 5 kilometer (km), berbasikal 50 (km)dan larian 20 km dan dua kategori diperkenalkan iaitu Terbuka dan Badan Beruniform dan Kerajaan.
“Penyertaan terbuka adalah terbuka untuk rakyat Malaysia sahaja dan yuran bagi kategori Terbuka sebanyak RM100 dan Badan Beruniform dan Kerajaan RM50 terdiri dari empat orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, acara utama yang diadakan di Tampin ini merupakan pelaburan yang dibuat untuk membawa masuk pelancong dari dalam dan luar negara bagi merancakkan industri pelancongan.
“Ia juga akan membantu meningkatkan reputasi Tampin sebagai tempat yang menarik, dinamik dan bersemangat untuk dilawati, didiami yang mana penduduk dan pelancong berpeluang menghadiri acara-acara bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah dijangka disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Untuk maklumat lanjut berkenaan acara atau mereka yang ingin mendaftar sebagai peserta, boleh melayari laman sosial Facebook Tampin Eco Challenge 2019.-UTUSAN ONLINE









