Pesara guru rugi RM197,000 diperdaya parcel scam - Utusan Malaysia

Pesara guru rugi RM197,000 diperdaya parcel scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang pesara guru berusia 58 tahun dari Pendang dekat sini kerugian RM197,000 selepas diperdaya sindiket ‘parcel scam’ didalangi warga Afrika pada April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Annuar Amri Abd. Muluf berkata, mangsa ditipu seorang individu menyamar sebagai warga Ukraine yang dikenali menerusi Facebook pada Februari lalu.

“Individu itu kononnya ingin menjadikan mangsa sebagai kakak angkat kerana akan bekerja di Sabah untuk satu projek Gas Petronas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, dalam kejadian pada 10 April lalu, mangsa menerima panggilan daripada kenalan Facebook itu dan mendakwa telah ditahan oleh pihak kastam atas kesalahan membawa wang tunai dolar Amerika Syarikat (AS) melebihi had.

“Mangsa kemudian dihubungi seorang wanita mengaku pegawai kastam yang memberitahu kenalannya akan ditahan atas kesalahan membawa masuk wang AS melebihi had dan mangsa perlu membayar sebanyak RM77,000 untuk membebaskan kenalannya.

“Mangsa membuat transaksi wang yang diminta ke akaun bank milik seorang wanita Melayu,” ujarnya.

Menurut Annuar Amri, selepas dibebaskan oleh pihak kastam, kenalan itu berjanji akan membayar semula wang tersebut serta meminta mangsa meminjamkan akaun bank bagi memasukkan wang RM2 juta untuk tujuan perniagaan di negara ini.

“Seterusnya mangsa mendapat panggilan telefon daripada individu mengaku pegawai bank dari Pulau Pinang memberitahu terdapat transaksi wang hendak dibuat ke akaun bank mangsa. 

“Mangsa kemudian dihubungi oleh kenalan Facebook tersebut meminta mangsa membayar cukai antarabangsa berjumlah RM40,000 ke akaun bank syarikat,” jelasnya.

Ujarnya, pegawai bank terbabit memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan rumah dan mengarahkannya membuat bayaran RM75,000 ke akaun bank individu lain sebelum wang RM2 juta berkenaan dapat dipindahkan ke akaun mangsa. 

“Bagaimanapun, selepas membuat semua bayaran, pegawai bank itu memberitahu tempoh pembayaran telah tamat dan RM2 juta tidak dapat dikreditkan ke akaun mangsa. 

“Bagi mendapatkan semula wang itu, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM5,000 pula melalui kaunter perkhidmatan bank,” katanya.

Tambahnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila anaknya telah mendapat tahu mangsa telah mengeluarkan kesemua wang simpanan pesaranya sebelum membuat laporan polis pada semalam.

“Kita percaya mangsa telah diperdaya oleh sindiket yang didalangi warga Afrika dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini