PASIR PUTEH – Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak dan St. John Ambulans Malaysia cawangan Kelantan menawarkan bantuan rawatan kecemasan percuma kepada orang ramai di dua jalan utama di jajahan ini yang sering sesak pada musim perayaan.
Laluan tersebut ialah Jalan Tok Bali – Bachok yang merupakan laluan utama pengguna jalan raya dari Terengganu yang memasuki negeri ini menerusi Lebuh Raya Pantai Timur serta Jalan Bukit Yong-Jertih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, bagi tujuan itu, dua ambulans sudah bersiap sedia untuk digerakkan sejak kelmarin dan perkhidmatan tersebut akan berterusan selama seminggu pertama Syawal.
“Ini sebagai bantuan segera bagi mengangkat mangsa yang terlibat dalam kemalangan atau bantuan rawatan kecemasan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Semerak, dekat sini hari ini.
Wan Hassan berkata, kedua-dua laluan itu sering sesak bukan hanya pada perayaan Aidilfitri dan Aidiladha malah turut sibuk pada musim perayaan Tahun Baharu Cina setiap tahun.
“Kita bekerjasama dengan St John Ambulans menjalankan tugas ini pada semua jenis perayaan kerana mendapati keadaan jalan benar-benar sesak sehingga orang ramai yang ditimpa musibah lewat menerima bantuan,” katanya.
Wan Hassan dalam pada itu memberitahu, pihaknya akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Muhibah bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Semerak pada hari raya kedua.
Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan rawatan kecemasan boleh menghubungi talian 0139157406 (Hanif) atau 0104564820 (Halim) sepanjang seminggu pertama sambutan Aidilfitri kali ini (kecuali pada hari raya pertama kerana semua petugas bercuti). – UTUSAN ONLINE











