KUANTAN – Sambutan Aidilfitri seorang penyelia Felda di sini suram selepas dia kerugian RM79,636 akibat ditipu sindiket pinjaman wang yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof

berkata, sewaktu berada di rumahnya pada 19 April lalu, mangsa, 31 tahun telah melihat iklan pinjaman wang berlesen di Facebook dan mengisi borang secara dalam talian yang disediakan di laman sosial berkenaan.
Katanya, dua hari selepas itu, mangsa menerima panggilan telefon dari seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya daripada sebuah syarikat pinjaman kredit.
“Mangsa berminat membuat pinjaman wang sebanyak RM500,000 untuk pusingan modal perniagaan jual beli kelapa sawit, pada 22 April lalu mangsa menghantar penyata bank dan salinan kad pengenalan iaitu dokumen untuk membuat pinjaman berkenaan.
“Selepas itu, mangsa menerima surat kelulusan bagi pinjaman wang itu dan telah membuat kemasukkan wang sebanyak 13 kali transaksi berjumlah RM79,636 ke beberapa akaun bank diberikan suspek,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, merasakan dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.
Menurutnya, modus operandi suspek memperdayakan dengan menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











