SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A. Samad memilih untuk tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mempertahan jawatan atau sebaliknya dalam pemilihan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 hujung bulan ini.
Pada masa yang sama, Iskandar mendakwa terdapat usaha oleh media tertentu untuk memecahbelahkan ahli-ahli Pas menjelang Muktamar dengan memberikan gambaran seolah-olah ahli parti itu berpuak-puak.
“Saya melihat seperti terdapat satu usaha oleh media tertentu untuk memecahbelahkan ahli-ahli Pas. Terdapat media yang memberi gambaran seolah-olah ahli Pas berpuak-puak. Seolah-olah mereka fanatik menyokong pemimpin tertentu dan menolak pemimpin tertentu.
“Pemilihan di dalam Pas bukan seperti di dalam parti-parti lain. Ia bukan perlumbaan untuk mengejar jawatan tetapi perlumbaan untuk membuat kebajikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, beliau menerima bilangan pencalonan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu dan menganggapnya sebagai isyarat daripada ahli yang masih memberi harapan kepadanya.
Selain beliau, Iskandar dan juga seorang lagi Naib Presiden iaitu Idris Ahmad turut dicalonkan semula untuk bertanding mempertahankan jawatan berkenaan.
Pada Jumaat, Malaysiakini melaporkan dua muka baharu turut dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden iaitu Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, pemilihan Pas berjalan dalam suasana harmoni dan tidak ada bermasam muka selepas keputusan diumumkan apabila kesemuanya, sama ada pimpinan mahupun ahli akan terus bekerja sebagai satu pasukan.
“Sebarang usaha memecahbelah ahli-ahli Pas mungkin satu usaha untuk melemahkan pakatan pembangkang dan ia tambahan kepada usaha untuk menggagalkan kerjasama UMNO dengan Pas yang dilakukan secara berterusan,” katanya.











