KUALA LUMPUR – Sekumpulan pemancing di Sungai Sugud, Timbua, Sarawak dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita yang terapung di kawasan berkenaan semalam.
Mayat wanita itu dipercayai berusia lingkungan 30-an ditemukan tersangkut pada batu sungai dalam keadaan tertiarap pukul 11 pagi sebelum laporan dilakukan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd. Shahrul Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden terbabit pada pukul 12.30 tengah hari.
“Pihak polis menerima maklumat terdapat satu mayat separuh bogel yang mana hanya memakai baju T berwarna merah dan seluar dalam berwarna merah jambu tanpa kasut.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, pihak polis mendapati mangsa adalah seorang wanita namun identitinya belum dapat dikenalpasti,” katanya hari ini.
Mohd. Sharul memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai lemas sebelum dihanyutkan arus sungai sehingga di lokasi terakhir mangsa ditemui.
“Polis masih mengesan waris kepada mangsa memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di sekitar lokasi penemuan mayat berkenaan,” ujarnya.
Mohd. Shahrul memberitahu, keadaan fizikal mayat sudah mulai reput menyukarkan proses pengecaman dan setakat ini tiada sebarang kesan atau unsur-unsur jenayah ditemukan.
“Mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian. Setakat ini, kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN ONLINE











