GUA MUSANG – Kumpulan pertama pesakit Orang Asli suku kaum Bateq yang selesai menerima rawatan di Hospital Gua Musang mula ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di sini hari ini.
Seramai sembilan pesakit yang telah menjalani ujian saringan kesihatan di hospital itu turut diiringi oleh 20 ahli keluarga ditempatkan di PPS tersebut buat sementara waktu.
Penduduk Orang Asli itu menaiki kenderaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan memasuki kem itu pada pukul 3.30 petang.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Hizani Ibrahim berkata, penempatan itu dibuka hari ini selepas persiapan rapi dan kerja pembersihan dilakukan.
Beliau berkata, pihaknya bersedia menerima pesakit Orang Asli yang disahkan selamat selepas menerima rawatan di hospital.
“Kita menjangkakan dapat menerima lebih ramai penduduk Orang Asli untuk tinggal secara sementara di kawasan itu sebelum dibenarkan pulang ke Kampung Kuala Koh.
“Pihak JKM akan menjaga kebajikan mereka semua termasuklah ahli keluarga pesakit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani akan digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka. -UTUSAN ONLINE











