IPOH – Op Selamat 15/2019 yang memasuki hari kesembilan semalam
merekodkan 1,167 kes kemalangan dengan 16 kematian di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan jumlah kemalangan berbanding Op Selamat 13/2018 iaitu sebanyak 83 kes atau 1,084 kes kemalangan.
“Sejak Op Selamat dilancarkan pada 29 Mei lalu, 16 kemalangan maut dengan 16 kematian direkodkan di negeri ini berbanding 20 kemalangan maut dan 21 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
“Daerah Ipoh merekodkan kes kemalangan terbanyak iaitu 384 kes diikuti Taiping sebanyak 153 kes selain Hilir Perak (90), Tapah (84), Manjung (78), Kuala Kangsar (68) dan Kerian (65),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Razarudin berkata, daerah Ipoh turut merekodkan kemalangan maut tertinggi iaitu sebanyak lima kes diikuti Gerik dengan tiga kes manakala Kerian dan Perak Tengah pula masing-masing dua kes.
Ujarnya, daerah Tapah, Hilir Perak, Kampar dan Sungai Siput pula merekodkan satu kes kemalangan maut.
“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 13,613 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan berbanding 23,342 saman dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











