KEMAMAN – Seramai 12 nelayan di Kuala Kertih menyertai Kursus Pengurusan dan Ternakan Ketam Bakau Dalam Kandang di Eco Care di sini semalam.
Kursus dua hari anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dengan kerjasama Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dirasmikan oleh ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.
Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Mohd. Ikhwanuddin Abdullah.
Sementara itu, Saiful Azmi berkata, inisiatif itu merupakan program perintis bagi pemindahan ilmu UMT kepada masyarakat setempat khususnya di sekitar DUN Kemasik di samping dapat membantu menambah pendapatan penduduk.
“Buat permulaan kita buat dalam bentuk yang kecil dahulu. Apabila berjaya kita akan buka seluas-luasnya kepada penduduk di DUN Kemasik.
“Program ini memerlukan ketabahan dan kesabaran untuk berjaya, jadi dengan ilmu diberikan diharap semua peserta dapat bergelar pengusaha ternakan ketam bakau dalam kandang yang berkemahiran tinggi dan menjadi tempat rujukan kepada mereka yang berminat di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











