KUALA LUMPUR 21 Jun – Program memasak secara bergotong-royong oleh sukarelawan bersama pelancong asing bakal memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 (MRTM 2019) di Muzium Diraja, Jalan Istana di sini malam ini.
Program yang bermula sejak pagi tadi menyaksikan beberapa petugas sukarelawan membantu menyiapkan dekorasi hiasan kawasan persekitaran dengan pemasangan khemah-khemah acara serta pemasangan pelita panjut bagi menyemarakkan lagi penghayatan erti perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum di negara ini.
Secara rasminya esok pada pukul 2 petang, majlis MRTM 2019 akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail biarpun acara dan aktiviti telah berlangsung sejak pukul 8 malam tadi.

Tinjauan Utusan Online ke lokasi acara mendapati rata-rata petugas sudah memulakan program yang telah disusun rapi bagi melancarkan lagi majlis tersebut.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Hanida Mohamed Yusof berkata, beliau menjangkakan ribuan tetamu yang akan hadir memeriahkan program MRTM 2019 ini.
“Kami jangkakan seramai 15,000 ke 20,000 tetamu yang akan hadir memeriahkan majlis ini.
“Hari ini persediaan awal seperti aktiviti mengacau dodol, membakar lemang dan bahulu, memasang panjut (pelita), menganyam ketupat dan memasak wajik telah kita mulakan pada awal pagi tadi,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.
MRTM yang diadakan sejak 2001, kini buat julung kalinya diadakan selama dua hari anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.

Terdapat pelbagai program menarik yang telah disususn antaranya seperti sewang, persembahan kebudayaan, persembahan sisipan Aidilfitri bersama artis popular, demonstrasi interaktif dan banyak lagi.
Kira- kira 1,500 petugas terlibat dalam menjayakan program kali ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), urusetia, sukarelawan dan penari-penari kebudayaan. -UTUSAN ONLINE











