Masa bersama saudara mara - Utusan Malaysia

Masa bersama saudara mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUAI dengan keistimewaan sambutan lebaran yang biasanya dimeriahkan dengan aktiviti kunjung-mengunjung, pelakon cantik ini sudi berkongsi sesuatu yang menarik buat tatapan pembaca.

Terpancar rasa teruja pada wajahnya, Ummi Nazeera mengakui seronok berpeluang pulang ke kampung halaman sebelah ibunya di Besut, Terengganu pada tahun ini.

Keistimewaan itu lebih dirasai memandangkan ini adalah tahun pertama dia menyambut Aidilfitri di sana bersama suami, Dr. Mohd Izzar Anwari Abdul Khani, 32, dan anaknya, Ayra Aneesah, 11 bulan di Besut.

Memuatkan artikel berkaitan…
PASANGAN ini mahu menikmati lebaran dengan penuh pengertian bersama kaum keluarga yang lain.
PASANGAN ini mahu menikmati lebaran dengan penuh pengertian bersama kaum keluarga yang lain.

“Ini kali pertama beraya di kampung sebelah ibu bersama mereka berdua. Bukan sahaja itu, menariknya tahun ini, kami berkumpul dan beraya dengan seluruh ahli keluarga.

“Hampir 500 hingga 1,000 ahli keluarga berkumpul di Besut kali ini dan kesemuanya daripada lima generasi!

“Ayra pula adalah cucu pertama dan satu-satunya daripada generasi kelima itu,” katanya.

Kongsi pelakon berusia 29 tahun ini, pertemuan satu keluarga besar itu merupakan antara usaha keluarganya untuk merapatkan lagi silaturahim dari generasi ke satu generasi.

Kata Ummi, hari raya adalah masa yang paling sesuai untuk berkumpul memandangkan ia adalah antara waktu mudah kebanyakan individu santai daripada sebarang komitmen kerja.

“Bukan senang nak berkumpul seramai ini dalam satu masa. Ini adalah masa yang paling saya nantikan sebab teringin nak jumpa semua ahli keluarga.

“Inilah masa untuk saling mengenal. Jangan terkejut, sebenarnya ada lagi antara kita yang adakalanya tidak kenal antara satu sama lain sebagai satu keluarga.

“Sebab itulah pentingnya untuk kita semua kekalkan pertalian ini tambah-tambah lagi generasi muda. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan teruskan usaha seperti ini, betul tak?” katanya.

Menurut Ummi, dia juga seronok menikmati detik perjalanan jauh pulang ke kampung ketika musim perayaan.

“Macam lengkap perasaan teruja nak balik kampung tu. Tapi dalam keterujaan, janganlah pula lupa mengutamakan keselamatan di jalan raya ya!

“Risau kalau sebut bab ini sebab saban tahun di musim perayaan memang banyak berlaku kemalangan. Jadi berhati-hatilah semua,” tambahnya.

Pastikan Ayra selesa

Dalam pada itu, kata Ummi, kesihatan Ayra juga menjadi keutamaannya dan suami memandangkan puteri tunggalnya itu adalah bayi pramatang.

UMMI teruja dapat meraikan lebaran di Besut tahun ini.
UMMI teruja dapat meraikan lebaran di Besut tahun ini.

Dalam keseronokan menyambut hari raya, Ummi turut melahirkan kerisauan sebagai ibu kerana Ayra mudah terdedah pada jangkitan.

“Banyak yang saya lakukan sebagai persiapan sebelum raya tempoh hari dan antaranya memastikan Ayra mendapat suntikan mencegah penyakit.

“Mujurlah suami seorang doktor dan dia banyak membantu saya dalam usaha memberikan yang terbaik buat anak kami,” katanya.

Bagaimanapun Ummi tidak mahu bersikap terlalu cerewet kerana tetap mahu memberikan Ayra detik manis dalam berhari raya.

“Dalam kerisauan, saya sebagai ibu mampu berdoa sahajalah agar Ayra sentiasa selesa, sihat dan ceria. Iyalah, takkanlah tak bagi anak beraya pula kan?

“Mujur juga ramai yang membantu menjaga Ayra di kampung. Keluarga kan ramai?” seloroh Ummi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini