Lupakan perbezaan, cari titik persamaan - Utusan Malaysia

Lupakan perbezaan, cari titik persamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perayaan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri merupakan peluang keemasan untuk rakyat Sarawak melupakan perbezaan dan mencari titik persamaan bagi mengeratkan lagi hubungan dengan rakan-rakan daripada berlainan etnik serta agama di negeri tersebut.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri meminta rakyat Sarawak mengambil kesempatan itu menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi kerana ia merupakan medium terbaik untuk berkumpul sesama masyarakat selain bertegur sapa dan memperbaharui ikatan persahabatan.

“Kalau bukan tanggungjawab kita di Sarawak yang memelihara perpaduan dan integrasi kita sendiri siapa lagi yang akan melakukannya? 

Memuatkan artikel berkaitan…
NANCY SHUKRI
NANCY SHUKRI 

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan lagi Selamat menyambut Hari Gawai, ‘gayu guru gerai nyamai lantang senang nguan menua’ dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, selama ini warga Sarawak hidup bersatu-padu antara semua kaum secara harmoni serta penuh bertoleransi, dan negeri lain di Malaysia telah lama menjadikan kemajmukan dan keharmonian negeri ini sebagai sesuatu yang dicontohi dan dicemburui.

“Kejayaan kita dalam hal ini membuktikan hubungan baik antara etnik boleh dicapai dengan mengamalkan nilai murni seperti toleransi, saling menghormati dan menjadikan perbezaan dan kepelbagaian antara kaum sebagai kekuatan, bukan kelemahan. Selama ini, kita disatukan bawah naungan bendera negeri yang merupakan identiti utama ‘Sarawak First’.

“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengabaikan pencapaian ini dan harus sentiasa berwaspada terhadap unsur luar yang cuba menyemai bibit-bibit kebencian dan perselisihan antara kaum dan penganut pelbagai agama di Sarawak,” ujar beliau.

Sebagai contoh, kata Nancy, baru-baru ini, satu insiden berlaku iaitu isu perayaan telah disensasikan dan dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi media sosial.

“Provokasi seperti ini semakin dipergiatkan oleh ejen luar untuk mencetuskan perselisihan perkauman di Sarawak. Anasir-anasir dan hasutan daripada mereka mula dirasai kebelakangan ini. Jika dibiarkan, api kecil dapat membakar hangus hutan berhektar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini