IPOH – Seorang lelaki ditahan polis semalam selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mengumpil serta mencuri duit derma orang ramai dari dua tabung di Masjid Ghufran, Kampung Manjoi di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Labrooy pada pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan lanjut.
“Penahanan suspek dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat Timbalan Pengerusi Masjid berkenaan selepas melihat perbuatan lelaki itu melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohd. Ali, rakaman berdurasi tiga minit 14 saat seperti yang tular di media sosial itu menunjukkan lelaki tersebut mengumpil dan memasukkan duit tabung ke dalam poket seluarnya sebelum melarikan diri.
“Salah satu tabung yang diumpil suspek merupakan tabung yang diletak oleh Bahagian Amal Kebajikan Islam Perak (BAKIP) manakala satu lagi tabung masjid yang diletakkan di ruang solat muslimah.
“Kerugiaan dianggarkan berjumlah RM500 memandangkan tabung BAKIP hanya dibuka sekali sebulan,” katanya.
Katanya, semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – K! ONLINE











