LONDON – Pengendali Belgium, Roberto Martinez menggesa Romelu Lukaku untuk meninggalkan Manchester United sebelum musim baharu Liga Perdana Inggeris bermula jika mahu kariernya kembali berada di landasan betul.
Kedudukan penyerang berusia 26 tahun itu dalam skuad Red Devils kelihatan goyah selepas mengharungi detik sukar pada musim keduanya di Old Trafford.
Bekas pemain Chelsea, West Brom dan Everton itu sering disisihkan di bawah kendalian bos baharu, Ole Gunnar Solskjaer dalam separuh kedua musim pada kempen 2018/19, dengan lebih mempercayai penyerang England, Marcus Rashford.
Oleh sebab itu, Martinez yang pernah mengendalikan Lukaku ketika di Goodison Park, menggesa pemain Belgium itu agar segera meninggalkan kelab tersebut dan mencari pasukan baharu untuk membina semula kariernya.
“Sangat jelas bahawa dia perlu meninggalkan Manchester United. Ia akan memberikan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Sangat penting untuk Romelu berpindah ke kelab lain buat masa sekarang,” kata Martinez kepada media Belgium, Het Laatste Nieuws. – AGENSI











