IPOH – Beberapa lagi individu akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM720,000 bagi kerja-kerja membaik pulih sungai tahun lalu.
Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, ia susulan penahanan seorang penolong jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah dan seorang kontraktor yang dipercayai membuat tuntutan berkenaan.
Katanya, SPRM telah mengenal pasti sekurang-kurangnya lima individu yang mempunyai hubung kait dan maklumat berhubung kes berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
“Siasatan kes ini di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 masih berjalan dan kita sedang mengumpulkan lebih banyak maklumat.
“Ketika ini dua individu tersebut masih ditahan reman selama seminggu sehingga Rabu depan,” ujarnya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Tautan Mesra SPRM Perak di ibu pejabat agensi itu di Meru di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, SPRM Perak menahan seorang penolong jurutera JPS dan seorang kontraktor bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja membaikpulih sungai.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 58 dan 57 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di sini pada malam sebelumnya.
Bagaimana pun tiada sebarang kerja-kerja fizikal membaikpulih dibuat di tapak sehingga ke hari ini dan bayaran penuh kerja sudah dibuat.
Difahamkan SPRM turut menahan dua lagi lelaki yang juga dipercayai terbabit dalam kes berkenaan, namun tidak direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM. -UTUSAN ONLINE











