BERIKUT adalah bahagian kedua imbauan wawancara bersama Perdana Menteri Keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang siarkan dalam Utusan Malaysia pada 16 Julai 1983, iaitu selepas dua tahun beliau menjadi Perdana Menteri.
Untuk bekerja kuat tidak jadi masalah kerana terdapat banyak pekerjaan, hanya pilihan mereka sahaja. Jika mereka memilih terus berada di takuk mereka, mereka terus mahu melakukan kerja-kerja tradisional mereka, maka mereka terpaksalah menderita disebabkan pilihan mereka itu.
SOALAN: Rancangan kerajaan mengenai Islamisasi telah menimbulkan rasa takut dalam kalangan sesetengah pihak. Ke mana sebenarnya matlamat kita di bawah rancangan ini?
Apa yang kita maksudkan dengan Islamisasi ialah penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara kita. Penerapan nilai-nilai tidak sama dengan pelaksanaan undang-undang Islam. Undang-undang Islam adalah untuk orang-orang Islam. Ini ialah undang-undang personel mereka. Tetapi undang-undang negara, walaupun bukan undang-undang Islam, tetapi ianya tidak bertentangan dengan Islam ataupun ianya boleh dikatakan sesuai dengan kehendak Islam dalam keadaan-keadaan tertentu. Undang-undang Islam cuma dapat dilaksanakan kalau rakyat kesemuanya menyetujuinya. Kita tidak boleh paksa kerana dalam Islam tidak ada paksaan.
Kalau orang-orang Islam tinggal dalam negara bukan Islam, tidak jadi kesalahan kepada dia kalau dia tunduk kepada undang-undang dalam negara itu, walaupun undang-undang itu bukan undang-undang Islam. Dalam negara kita bukan 100 peratus penduduknya terdiri daripada orang Islam, tetapi saya yakin, oleh kerana nilai-nilai Islam ialah nilai-nilai yang baik belaka, maka orang-orang bukan Islam tidak akan menentang-nya, kerana apa yang dikehendaki oleh Islamialah keadilan, toleransi, mengiktiraf agama orang lain, menghormati kepercayaan orang lain, tidak merobohkan benda-benda yang disembah oleh orang lain, supaya mereka jug tidak menghinakan apa juga yang kita sembah, Tuhan yang kita sembah.
Ini adalah secocok dengan nilai-nilai Islam dan inilah yang kita terapkan. Dan ditanya juga saya fikir boleh diterima iaitu toleransi boleh diterima, sifat berbaik-baik antara kaum boleh diterima. Semuanya ini adalah nilai-nilai islam belaka. Jadi proses Islamisasi ini bukan bermakna memaksa undang-undang Islam kepada orang bukan Islam, tetapi menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara, dan nilai-nilai ini memang nilai-nilai sejagat yang boleh diterima oleh semua pihak.
Cuma yang menjadi masalah kepada orang bukan Islam ialah terdapat sesetengah pihak yang bercakap mengenai mahu paksa undang-undang Islam kepada orang bukan Islam. Ini yang jadi masalah. Tetapi kerajaan tidak ada niat hendak memaksa sama sekali, jadi tidak ada sebab orang-orang bukan Islam harus khuatir.
Dalam soal menerap nilai-nilai Islam ini timbul semacam keghairahan dalam kalangan orang-orang Islam sendiri. Misalnya kalau dulu soal penetapan tarikh puasa dan raya hanya merupakan soal ketupat basi, sekarang ini telah menjadi soal yang menyentuh perpaduan umat. Sekarang ini timbul Jabatan Pelajaran Perak memberi garis panduan pakaian dan fesyen rambut kepada guru-guru wanita. Sejauh mana kerajaan dapat membendung keghairahan ini dalam kalangan umat Islam sendiri?
Ini satu masalah yang sukar juga bagi kerajaan untuk mengawal sepenuhnya. Tetapi kita cuba jelaskan tentang apa yang kita maksudkan dengan penerapan nilai-nilai Islam tetapi malangnya dalam mana-mana masyarakat akan ada orang yang membuat tafsirannya sendiri-sendiri dan ada yang cuba mengambil tindakan sendirian. Dan ini mungkin ditafsirkan oleh orang ramai sebagai usaha kerajaan walhal ini bukan sebenarnya usaha kerajaan.
Masalah yang semacam ini saya percaya akan berlaku sepanjang masa iaitu akan ada orang yang membuat tafsiran berlainan daripada apa yang dibuat oleh kerajaan. Tetapi perkara yang semacam ini berlaku juga dalam mana-mana masyarakat lain. Di Amerika, kita dengan berkenaan dengan Jimmy Jones yang membuat tafsirannya tersendiri. Sudah tentu kita tidak akan menganggap bahawa ini ialah agama Kristian.
Atau pun selama 300 hingga 400 tahun di Sepanyol diadakan inquisition yang mana orang yang bukan Kristian Katolik dibunuh dan dibakar. Ini manifestasi masyarakat itu yang mungkin ditafsirkan sebagai Kristian, tetapi sebenarnya adalah satu tindakan keterlaluan dan kita tidak boleh anggap bahawa memang jadi tabiat orang-orang Kristian ini bakar orang.
Ini kalau sepintas lalu kita tunjuk pada peristiwa itu, maka kita akan merasa takut. Begitu juga dalam kalangan orang Islam. Ada orang berkata kalau kita nak terapkan nilai-nilai Islam maka kita kena tutup semua bank, cuma Bank Islam saja yang tinggal.
Ini adalah manifestasi keangkuhan sesetengah orang yang bukan berasaskan kepada Islam sebenarnya. Belum lagi ada kuasa yang cukup kuat sudah nak tunjuk keangkuhan kuasa.
Ini patut kita bendung. Kalau kita dapat bendung ini, saya fikir orang bukan Islam tidak akan merasa khuatir.

Kadang-kadang soal-soal mengenai peraturan moral yang mempunyai nilai-nilai manusia sejagat boleh kita laksanakan tanpa menggunakan label Islam. Kita hanya menggunakan alasan moral. Misalnya, tidakkah boleh kita mengharamkan arak ataupun judi berasaskan nilai-nilai moral sejagat, Encik Lee Kuan Yew tidak membenarkan kasino di negaranya atas alasan moral, bukan alasan Islam.
Boleh juga, tetapi orang bukan Islam di sini tidak menganggap perkara itu sebagai satu petanda moraliti yang dia boleh terima dan dia tidak merasakan ini satu masalah kepada dia. Kalau kita nak katakan ini berasaskan moraliti, terlebih dahulu kita mesti tentukan apakah orang ini atau masyarakat bukan Islam juga berpendapat bahawa daripada segi moraliti patut diharamkan kasino.
Yang menyuarakan perkara ini ialah orang-orang Islam kerana berasaskan kepada Islam, jadi kita terpaksa bertindak mengikut perasaan orang-orang Islam sendiri. Kalau sudah ada dalam kalangan orang bukan Islam sendiri bahawa minum arak itu tidak baik dan patut diharamkan dan berjudi pun tidak baik dan patut diharamkan, ianya tidak menjadi masalah.
Kalau kita katakan kita akan haramkan judi ini berasaskan moraliti, tetapi sekarang ini tidak ada tanda-tanda bahawa mereka menganggap ini sebagai satu perkara yang mencemar moraliti. Jadi janganlah kita gunakan kehendak kita sebagai orang Islam untuk menyekat orang lain dan kita katakan ini soal moraliti, yang sebenarnya kita diasaskan kepada Islam.
Datuk Seri, masalah kita hari ini bukan lagi ketupat basi, tetapi membuat ketupat di lain hari dan di lain negeri. Orang-orang yang membuat perintah ini bukan lagi orang biasa tetapi mereka yang mempunyai kuasa. Ekoran daripada itu, Tunku Abdul Rahman mengesyorkan supaya disemak semula perlembagaan terutama mengenai hal ehwal agama Islam. Apakah Datuk Seri bersetuju dengan saranan Tunku ini ataupun Datuk Seri mempunyai pandangan lain?
Mengenai teguran Tunku saya hormati kerana Tunku ialah negarawan yang sebenarnya mengasaskan perlembagaan untuk Malaysia. Dan kalau Tunku membuat teguran tentulah ada sebabnya. Tetapi saya belum boleh pastikan apakah cara yang boleh kita usahakan yang tidak akan bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam perlembagaan sendiri.
Perkara ini adalah perkara yang memerlukan fikiran yang mendalam yang memerlukan kecekapan dalam bidang undang-undang terutama undang-undang perlembagaan negara. Jadi saya berpendapat bahawa tidak kena pada tempatnya jika saya membuat apa-apa komen mengenainya.
Soal penentuan tarikh puasa dan raya menjadi semakin kecoh sekarang ini. Tidakkah di bawah kerajaan cekap kita selesaikan masalah ini buat selama-lamanya?
Kerana kerajaan cekap maka kita tidak tergesa-gesa dalam menyelesaikan masalah ini. Kalau kerajaan tidak cekap, dia buat itu dan dia buat ini tanpa memikirkan secara mendalam. Ini kerana kerajaan cekap maka dia fikir dengan mendalam dahulu sebelum dia ambil tindakan. Saya yakin apabila kita ambil tindakan nanti ianya akan berkesan.
Mengenai penentuan tarikh puasa dan raya, tidakkah ianya menjejas imej kita sebagai negara Islam?
Ya, malangnya perkara ini telah mempunyai faktor sedemikian. Saya tidak ada apologetik yang saya nak buat tentang perkara ini. Saya berasa kecewa kerana ini berlaku tetapi dalam pada itu saya berpendapat bahawa saya sekurang-kurangnya tidaklah membuat apa-apa kenyataan yang tidak membina.
Datuk Seri katakan kerajaan akan mengambil tindakan. Boleh Datuk ceritakan tindakan yang bagaimana yang akan diambil?
Awal-awal lagi saya kena faham dengan mendalam tentang masalah ini, kesannya terhadap perlembagaan, apa sebenarnya yang difikirkan oleh Tunku dan apa pendirian bermacam-macam pihak yang terlibat dalam perkara ini. Saya fikir tidak ada siapapun dalam negara ini yang suka melihat perpecahan berlaku dalam kalangan umat Islam. Tetapi mungkin pandangan-pandangan mereka mengenai cara mengatasi masalah ini yang berbeza. Jadi kita patut bergerak dengan cara dan langkah yang tersusun dan dengan berhati-hati.
Terdapat kelemahan dalam operasi Majlis Raja-Raja, sebab itulah berlaku perkara-perkara seperti ini hingga ada negeri keluar daripada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam. Soal penetapan tarikh puasa dan raya dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja tetapi tidak ada kata sepakat.
Saya bersetuju bahawa sistem yang ada sekarang ini tidak sempurna, sebab itulah kita ada masalah. Jadi nak dapatkan kesempurnaan ini adalah satu usaha yang sukar. Kita patutlah mencari jalan untuk mengatasi masalah ini setakat kemampuan kita sahaja. Walaupun kita dapat atasi masalah kali ini, ditanya tidak menjamin perkara-perkara lain yang berlaku di kemudian hari. Tidak ada perlembagaan yang sempurna dan sistem yang kita gunakan sekarang juga tidak sempurna.
Kongres di Pulau Pinang baru-baru ini dengan sebulat suara menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Kita barangkali merasa runsing, kerana sudah beberapa tahun merdeka masih ada orang bukan Melayu yang tidak berpuas hati. Apakah pada pendapat Datuk Seri sebabnya hal begini berlaku dan bagaimana cara mengatasinya?
Perkara yang semacam ini tidak boleh diselesaikan menerusi rumusan-rumusan, persidangan-persidangan ataupun ketetapan yang dibuat dalam persidangan. Perkara yang semacam ini boleh diselesaikan kalau kita membincangkannya dalam satu iklim yang lebih sesuai. Saya berpendapat bahawa saya tidak perlu membuat komen tentang apa juga keputusan yang dibuat secara itu. Itu bukan caranya menyelesaikan masalah.
Adakah rancangan kita nak cari penyelesaian?
Kita ada badan-badan tertentu yang boleh diselesaikan perkara ini dan kita harus berikan pada mereka untuk menyelesaikan masalah ini.
Dahulu sewaktu Kongres Kebudayaan Kebangsaan diadakan rumusan sedemikian dibuat, tetapi akhirnya rumusan itu tidak diterima oleh beberapa kementerian. Kalau kita membiarkan perkara ini kita akan mencapai tahap di mana kita tidak akan mencapai kebudayaan kebangsaan.
Kita boleh mendefinisikan kebudayaan kebangsaan, tetapi jika tidak ada siapa yang nak mengamalkannya tidak ada makna juga.
PERPADUAN UMNO
UMNO ialah parti yang terkuat sekali di tanah air, tetapi soal perpaduan parti dikhuatiri hingga ke peringkat bawah (grass roots). Apakah para pemimpin pusat dapat berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini?
Saya tidak fikir masalahnya sebesar yang kita cakapkan. Tetapi anda daripada akhbar saya fikir sudah mula mempercayai laporan anda sendiri. Misalnya terdapat laporan yang mengatakan si anu dan si anu tidak bertegur sapa dengan si anu dan si anu lain. Hal ini tidak berasas sama sejali. Kebanyakan membuat berbagai-bagai jenis interpretasi. Apakah orang ini duduk sebelah si anu ataupun tidak? Adakah beliau duduk berhampiran, jika hampir mana pula, dan apa dia yang ada di antara si anu dengan si anu, semuanya ini sedang diambil kira sekarang. Anda cuba melihat pada tanda-tanda yang sebenarnya tidak ada tanda-tanda.

Sebenarnya memang terdapat masalah, tetapi masalah ini bukanlah yang tidak boleh diselesaikan. Kita percaya UMNO terutamanya, didokong oleh orang-orang yang bertanggungjawab. Mereka tidak mahu melihat terdapat perpecahan dalam parti. Tetapi sudah tentu kadang kala mereka terbawa-bawa oleh desakan penyokong-penyokong mereka. Para penyokong sentiasa mahukan pertarungan yang rancak, seperti perlawanan bolasepak juga, mereka yang berdiri di tangga ayam akan bersorak lebih kuat daripada pemain di dalam padang. Jadi perkara ini berlaku apabila kebanyakan sukakan pertarungan rancak. Mereka suka melihat pertandingan, jadi mereka boleh bertaruh dan sebagainya.
Jadi kita dapati ramai juga mereka yang agak aktif, tetapi saya telah memberi amaran kepada mereka iaitu apa jug yang mereka buat tidak akan berjaya menghancurkan parti. Mereka tidak akan dapat memecahkan parti. Saya fikir amaran ini telah difahami dengan baik. Saya fikir sudah ada tanda-tanda yang perkara ini menjadi reda.
Mereka tidak akan dapat memecahkan parti. Saya fikir amaran ini telah difahami dengan baik. Saya fikir sudah ada tanda-tanda yang perkara ini menjadi reda.
Di satu pihak pula Datuk Seri, apabila Datuk memberi amaran, mereka mentafsirkan yang Datuk Seri tidak menyokong golongan ini, sebaliknya mereka berkata Datuk Seri menyokong golongan yang itu.
Memang benar, kedua-dua pihak membuat tafsiran yang tersendiri mengikut cara masing-masing. Ini ialah kerana mereka mahu memastikan yang mereka menang akhirnya. Apa juga yang saya kata mereka boleh tafsirkan mengikut kesukaan mereka, tetapi saya fikir rank and file dalam UMNO faham apa yang saya maksudkan.
Kesan dari pertandingan 1981 masih dapat dirasakan.
Hanya dalam kalangan segolongan kecil sahaja, tidak menyeluruh dalam parti. Selebihnya bersikap tidak mahu terlibat, tetapi pihak ini jika mereka terpaksa mengundi, mereka akan mengundi.
Datuk Seri berkata, para penyokong sentiasa sukakan pertandingan yang rancak, tetapi tidakkah penyokong yang pergi ke sana ke mari adalah atas dorongan dari ketua kumpulan masing-masing?
Perkara ini sangat sukar untuk dikatakan, siapa sebenarnya yang mendorong siapa? Sama ada penyokong mendorong ketua atau ketua mendorong penyokong. Akan tetapi biasanya pemimpin yang normal, bukan yang tidak normal, akan berfikir jika mereka bereaksi dengan desakan para penyokongnya sendiri secara negatif, maka mereka akan memusnahkan diri mereka sendiri. Jadi mereka mahu mengekalkan penyokong-penyokong mereka, maka mereka mesti bersikap neutral.
Sebab itulah saya memberi amaran kepada apa yang saya panggil “leftenan”. Leftenan inilah yang sangat ghairah berbanding dengan “cambatants”, jeneral. Para jeneral tidak begitu ghairah, sebaliknya leftenan inilah yang sangat aktif kerana mereka fikir, jika jeneral mereka dapat naik ke atas, maka mereka juga boleh naik set akuk. Jadi kita lihat perkara begini berlaku sepanjang masa. Semua orang mahu calon mereka menang kerana dengan itu “aku boleh tumpang sekaki di bawah sayapnya.”
Baharu sebentar Datuk Seri membuat kenyataan penting iaitu luka lama sudah sembuh. Apa bukti yang Datuk Seri ada?
Luka ini tidak sembuh kesemuanya. Perasaan kurang senang tetap ada. Akan tetapi sudah tentu degrinya sudah berkurangan daripada sebelumnya. Saya mempunyai sumber-sumber maklumat saya sendiri, yang sudah tentu bukan dari akhbar, dan saya percaya bacaan saya ini agak tepat.
PERPADUAN BARISAN NASIONAL
Kita dapati beberapa prinsipal dalam Barisan Nasional tidak dipatuhi sepenuhnya oleh beberapa anggota komponen. Misalnya Berjaya telah meletakkan calonnya sebagai calon Bebas bertanding menang calon Barisan dari USNO. Sesetengah dari calon bebas ini telah menang dan menjadi anggota Dewan Rakyat. Di waktu beliau menjadi anggota bebas Parlimen, beliau juga menjadi Ketua Pemuda Berjaya. Bagaimana Datuk Seri menyelesaikan masalah ini?
Kita sebenarnya tidak mempunyai daya untuk memaksa sesuatu isu. Apa yang penting ialah rakyat Sabah telah membuat pemilihan. Jika mereka sukakan calon Barisan, mereka sepatutnya mengundi-nya dan ini akan membuatkan hidup saya lebih mudah. Sebaliknya mereka tidak mahu calon Barisan itu, jadi calon Bebas menang. Kita tidak boleh selamanya memaksa apa yang kita mahu. Jadi kita nampaknya berada dalam keadaan serba salah, di mana kita tidak juga boleh menerimanya dan dalam masa yang sama kita tidak boleh menidakkan mereka. Jadi kedua-duanya tidak memuaskan, sejauh yang saya pandang. Tetapi tidak ada banyak perkara yang boleh saya buat. Ia terserah kepada USNO dan rakyat Sabah sendiri. Mereka mesti memutuskan apa sebenarnya yang mereka mahu,
Datuk Seri, bagaimana reaksi Datuk Seri terhadap kenyataan Gerakan baru-baru ini yang seakan-akan menyokong Gagasan Malaysian Malaysia dan perpaduan Cina Malaysia menerusi penyatuan Gerakan-MCA. Apa pendapat Datuk Seri mengenai hal ini?
Saya tidak nampak apa-apa bahaya mengenai perpaduan Malaysia. Inilah apa yang kita usahakan. Jika Gerakan berkata demikian, maka mereka membentuk jawatankuasa untuk meninjau pendirian kerajaan. Akan tetapi, sudah tentu sekiranya mereka mengambil keputusan menyertai MCA, perkara ini adalah soal lain yang nampaknya menyebabkan keadaan lebih keliru lagi.
Di satu pihak mereka mahu menjadi rakyat Malaysia dan di satu pihak lain mereka mahu menjadi Cina Malaysia. Jadi mereka kenalah membuat keputusan apa sebenarnya yang mereka mahu. Kita kesemuanya adalah untuk perpaduan Malaysia dan dalam konteks perpaduan Malaysialah maka kita mempunyai segala dasar kita.
Mereka barangkali akan berkata, kenapa kita masih mempunyai UMNO yang menjadi parti orang-orang Melayu, jika kita mahukan perpaduan Malaysia?
Soalan yang sama boleh ditujukan kepada parti-parti lain. Kita percaya yang komponen Barisan sudah mewakili masyarakat Malaysia,akan tetapi mereka mestilah belajar cara bekerja bersama-sama.
ISU BANK BUMIPUTERA DAN BMF
Tidak banyak penerangan yang boleh didapati dari Bank Bumiputera mengenai kes Bumiputra Malaysia Finance Limited (BMF). Sebagai Perdana Menteri tentu Datuk Seri lebih tahu. Bagaimana kedudukan BMF sebenarnya?
BMF saya tidak tahu, tetapi Bank Bumiputera ialah syarikat induknya, yang dapat mengawasi BMF ini, terutamanya kerana kerajaan memberi pengakuan kepada Bank Bumiputera tentang sokongannya. Apa yang berlaku di BMF ini berasal dari jatuhnya harga harta di Hong Kong. Dan dianya bukan Bank Bumiputera sahaja, hampir semua bank di Hong Kong terlibat dengan ini. Sesetengahnya mungkin lebih banyak dari Bank Bumiputera sendiri. Tetapi kerana kita Bank Bumiputera, maka sesetengah orang suka menumpukan perhatian pada Bank Bumiputera. Mungkin kalau kita baca surat khabar baru-baru ini, kita tahu Barcley’s Bank pun terlibat dan saya tidak mahu sebut yang tidak disebut dalam surat khabar.
Tetapi saya tahu hampir semua bank di Hong Kong terlibat dengan krisis pasaran harta ini dan kesemuanya menghadapi masalah.Kalau tidak ada krisis pasaran harta ini, barangkali semua orang akan puji apa yang telah berlaku.
Tidakkah sebab kerugian BMF bermula lebih awal dari kejatuhan pasaran harta Hong Kong? Misalnya kita boleh persoalkan tentang cara pinjaman diberikan, cara pelaburan dibuat iaitu jumlah wang yang besar, diberikan kepada tiga syarikat sahaja dan tertumpu pada satu sektor pula. Tidakkah ini cara pelaburan yang sangat tidak baik?
Saya bersetuju dengan pendapat anda yang mengatakan cara pelaburan itu tidak prudent. Tetapi anda mesti ingat, iklim di masa itu ialah semua bank sangat ghairah untuk meminjamkan wang, semata-mata kerana kedudukan ekonomi melambung, terutama pasaran harta melambung.
Apabila ada peminjam terkenal datang memohon pinjaman, BMF sudah tidak meneliti nya dengan baik, walaupun sepatutnya mereka melihat permohonan itu dengan teliti. Inilah kesilapan mereka. Saya bersetuju dengan anda yang ianya bukan pelaburan yang baik.
Akan tetapi kesilapan sudah pun dilakukan, jadi masalah kita sekarang ialah bagaimana mengatasi kesannya dan bukan mencari kesalahan. Saya sedang cuba mengatasi masalah ini dan ianya ternyata boleh diatasi oleh Bank Bumiputera. Kita mempunyai keyakinan yang kita boleh memulihkan apa yang telah dilakukan oleh BMF. Jadi berilah peluang.
Seperti yang anda tahu, dalam bisnes perbankan, kita tidak membuat duit melalui jeritan, tetapi pengurusan yang baik membuat keuntungan. Jadi eloklah kita beri peluang kepada para pengurus bank mengatasi masalah ini.
Menurut beberapa pihak, ianya tidak sekatan pelaburan tidak bijak, tetapi termasuk amalan yang lebih dari itu?
Kita akan mengambil tindakan sekiranya perlu. Jika terdapat pelanggaran prinsipal atau pun terdapat amalan tidak sihat, atau pun perbuatan jenayah, kita akan mengambil tindakan. Akan tetapi apa yang diutamakan oleh kerajaan sekarang ini ialah untuk memastikan yang bank dapat mengatasi masalah ini. Inilah keutamaan pertama.
Ada orang berkata, sejak Bank Bumiputera ditubuhkan, sebanyak mana sahaja jumlah pinjaman yang diberikan kepada bumiputera berbanding dengan jumlah yang diberikan kepada para peminjam di Hong Kong?
Perkara ini memang benar, jadi kita perlu memberi perhatian. Perkara semacam ini telah berlaku sejak beberapa tahun. Seperti yang anda tahu sejak saya menjadi Perdana Menteri saya telah menyusun semula Bank Bumiputera, semata-mata kerana saya mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Akan tetapi perkara semacam ini tidak boleh diselesaikan menerusi ruangan dalam surat khabar. Ianya mesti diuruskan oleh kerajaan.
Tidakkah ianya berpunca dari sistem kawalan dan penyeliaan yang lemah dalam Bank Bumiputera sendiri di mana dua tiga orang mempunyai kuasa yang sangat besar untuk membuat keputusan ke atas jumlah wang yang banyak?
Mungkin, tetapi tumpuan saya sekarang ialah mengatasi masalah kewangan dahulu, lepas itu barulah pada yang lain.
Datuk Seri, tidak ada siapa pun yang mempersoalkan tentang keteguhan Bank Bumiputera. Apa yang kita persoalkan hanyalah kesilapan yang berlaku di Hong Kong?
Ya, tetapi bagaimana kita mesti mengendalikan kesilapan yang telah berlaku di Hong Kong bergantung juga kepada sebesar mana kita boleh adakan pemulihan. Sebab itu keutamaan sekarang ialah tentang pemulihan dan tidak tentang hukuman lagi. Tetapi jika kita mendapati sesiapa melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
Nampaknya sekarang ini kita akan kehilangan 36 juta dolar yang dipinjamkan kepada Eda. Orang hutang MARA tidak sebesar itu pun sudah bising?
Kita mesti ingat perkara ini berlaku kerana jatuhnya pasaran harta Hong Kong. Jika tidak ada kejatuhan ini, sudah tentu tidak ada masalah. Anda perlu lihat pada semua bank di Hong Kong. Mereka hampir kesemuanya memberi pinjaman kepada sektor harta benda. Perkara ini adalah kenyataan. Tetapi Bank Bumiputera sahaja ditonjolkan. Tetapi jika anda memeriksa bank-bank lain, saya pasti mereka juga telah memberi pinjaman untuk pembangunan harta benda.
Saya fikir Bank Bumiputera ditonjolkan kerana matlamat utama penubuhannya adalah untuk membantu bumiputera dan ianya hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputera?
Kita selalunya akan menjadi lebih matang dan bijaksana selepas sesuatu kejadian. Tidak ada siapa pun yang komplen sebelum ini. Semua orang gembira jika Bank Bumiputra menjadi bank ke-200 terbesar di dunia dan bank terbesar di Malaysia, mempunyai urusan jual beli yang terbesar. Jika anda hanya hendak memberi pinjaman kepada bumiputera yang menanam 30 ekar kelapa, Bank Bumiputera tidak akan menjadi besar.
Jadi di waktu itu semua orang gembira dengan apa yang dibuat oleh Bank Bumiputera. Di masa itu jika anda bertanya kepada saya kenapa anda menjadi besar, kenapa tidak menjadi kecil kembali, saya akan mengambil nasihat anda itu. Akan tetapi hal itu hanyalah selepas difikirkan dan selepas perkara telah berlaku. Kita tidak athau apa yang akan berlaku. Bank Bumiputera tidak akan menjadi besar jika ianya memberi pinjaman hanya kepada bumiputera. Pada masa itu, kita tahu bumiputera tidak mendapat pinjaman, tetapi tidak ada siapa yang komplen.
Soal Bank Bumiputera tidak memberi pinjaman kepada bumiputera ada dibangkitkan, termasuk dalam persidangan UMNO. Tetapi apa yang kita sebut sekarang ialah kesilapan di Hong Kong. Kalau kita tahu dari dahulu kita memang buat bising?
Perkara ini adalah urusniaga, semua orang tidak tahu, yang benda itu sedang berlaku.
Kita sememangnya mengakui keteguhan Bank Bumiputra, tentang bagaimana ianya boleh mendapatkan pinjaman terbesar di Asia untuk kerajaan. Hal itu tidak kita persoalkan?
Ianya bukan kerana Bank Bumiputera berjaya mendapatkan pinjaman terbesar di Asia untuk kerajaan. Bank Bumiputra menjadi besar terlebih dahulu baru dia berjaya mendapatkan pinjaman. Untuk menjadi besar dia mesti keluar ke peringkat antarabangsa. Dianya mesti meminjamkan wang di tempat lain dan mesti membuat duit juga di tempat lain untuk membolehkan dia membayar dividen seperti yang dibayarnya. Jika Bank Bumiputra hanya hendak bergantung kepada pinjaman kepada bumiputera, ianya barangkali tidak dapat memberi dividen langsung. Bank Bumiputra sudah tentu hanya menjadi bank publik yang kecil.
Duit yang dipinjamkan di Hong Kong kita terpaksa akui sangat dikesali dan BMF tidak pernah menunjukkan keuntungan ng menggalakkan.
Saya diberitahu hanya dengan jumlah modal yang kecil sahaja mereka telah dapat membuat keuntungan beberapa juta ringgit, pada tahun pertama. Selepas itu mungkin mereka mula bersikap terlalu mewah saya tidak tahu.
Terlalu ghairah barangkali?
Semacam lah, kita selalunya bijaksana selepas sesuatu kejadian. Jika anda dapat memberitahu saya yang perkara ini akan berlaku, barangkali saya tidak kan memberi pinjaman. Tugas saya sekarang ialah untuk memperbaiki apa yang telah terjadi dan bukannya bertindak sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat yang sedikit. Ini dilakukan sekarang.
Apa langkah kerajaan?
Langkah kerajaan ialah supaya Bank Bumiputera dapat pulih baik keadaannya. Itu saja. – Utusan Malaysia 16 Julai 1983
- Wawancara penuh dapat diperoleh dengan melanggani e-paper Utusan Malaysia menerusi www.digital.utusan.com.my atau muat turun aplikasi di Google Play atau App Store











