PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung pusat jagaan warga emas di Taman Seremban 3, Negeri Sembilan yang didakwa mendera penghuninya.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan pemilik premis telah menukar nama pusat jagaan warga emas tersebut sebelum beroperasi menggunakan nama baharu.
“Saya difahamkan pemilik pusat jagaan terbabit telah menukar nama premis berkenaan dan masih menunggu laporan penuh dari JKM negeri mengenai perkara tersebut.
“Namun kini apa yang lebih penting adalah, laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program memperkasakan wanita dalam bidang pengurusan risiko siber, di sini hari ini.
Selasa lalu media melaporkan, sebuah pusat jagaan warga emas di Seremban, Negeri Sembilan didakwa mengabaikan penghuninya malah mereka juga dikatakan didera sejak kira-kira dua tahun lalu.
Maklumat itu tular selepas status mengenainya dimuat naik oleh sebuah akaun Facebook, ‘Cik Pah Cik Ton’ yang mendakwa sebagai pembela warga emas terlibat. – UTUSAN ONLINE.










