Kejahilan apakah ini? - Utusan Malaysia

Kejahilan apakah ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AGAMA tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama tidak menyu­ruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa.” – Buya HAMKA.

Perkara 3 – Islam adalah agama Persekutuan. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini adalah tiang seri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa atau mengikut istilah yang digunakan oleh Prof. Dr. Ahmad Murad Merican, grundnorm – peraturan asas – yang tidak perlu dipersoalkan malah tidak perlu pun dibincangkan lagi.

Memelihara tiang seri negara agar Malaysia terus lestari adalah mendidik masyarakat untuk menghormati kedudukan Islam yang tersemat kemas dan dijaga molek sebagai grundnorm ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menggunapakai peruntukan Perkara 11 dan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) khususnya di bawah Bab 10, pengaturan pengajaran pendidikan agama Islam diperuntukkan khusus bagi institusi pendidikan yang mempunyai pelajar beragama Islam.

Di bawah Seksyen 50 menyebut jika sesebuah sekolah itu (termasuklah jika sekolah itu jenis kebangsaan Cina atau Tamil) mempunyai pelajar beragama Islam melebihi lima orang, maka diwajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam diajar di sekolah itu, sekurang-kurangnya dua jam seminggu.

Di bawah Seksyen 51 pula menyebut jika institusi pendidikan yang dibiayai kerajaan, mengajar murid bukan Islam mengenai agama selain Islam, pengajaran subjek itu tidak boleh dibiayai oleh dana yang diperuntukkan kerajaan.

Dapat dilihat bagaimana roh dan semangat memelihara tiang seri negara ini diterjemah dalam peruntukan undang-undang bagi meletak agama Islam tinggi dan istimewa dalam sistem pendidikan negara.

Maka, amatlah merunsingkan apabila tular mesej daripada ahli Kabinet baru-baru ini yang menjemput semua termasuklah ahli kumpulan agama selain Islam untuk duduk sama rendah dan semeja bagi mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan yang bermanfaat dalam mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan.

Adakah ini cara halus untuk membenarkan orang bukan Islam mengawal masyarakat Islam? Bagaimana mungkin niat menjemput suara luar dilihat sebagai ‘penambahbaikan’? Sedangkan umum tahu kejumudan terbentuk apabila kita benarkan orang yang bukan ahli dan faham tentang bidang itu untuk memutuskan sesuatu hal.

Hina sungguh agama suci ini pada pandangan mata mereka sehingga mereka lihat kononnya selama negara merdeka, orang Islam tidak mampu membentuk silibus sendiri untuk diajar kepada anak-anak Islam di sekolah.

Kejahilan apakah lagi yang akan dizahirkan apabila cara halus digunakan untuk mengawal selia sesuatu hal bukan berdasar kepakaran dan pengalaman, hanya berdasarkan nilai demokrasi yang mengangkat setiap suara sama nilai?

Tidakkah perlu dilihat lagi, sama ada suara itu wadah yang kemas untuk membincangkan hal yang bukan berada dalam kefahamannya? Adakah sungguh ini jalan mudah untuk memperkecilkan suara autonomi masyarakat Islam untuk mentadbir urus hal ehwal kita sendiri?

Mengapa sebegini berani suara asing mencabar grundnorm negara, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ada?

Sudah hilangkah taring orang Islam di Malaysia sehingga dilihat hanya berdengking si tua memekik, mustahil menggigit jema? Jangan kerana tamak haloba dek kuasa yang ada di tangan, masyarakat yang menjadi mangsa.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ dan Pengerusi program #TagupiMembaca.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini